KUALA LUMPUR – Kira-kira 500 penduduk kawasan perumahan Rafflesia S1, Taman Pelangi Semenyih 2 bimbang dengan keselamatan mereka ekoran ancaman tanah runtuh di situ.
Pengerusi penduduk, Mohd Faizazli Mohd Anuar berkata, pihaknya mengesan runtuhan tebing sungai berhampiran taman permainan perumahan selepas hujan lebat kira-kira jam 4 petang semalam.
Jelasnya, bimbang berlaku runtuhan lebih besar, pihaknya memaklumkan kejadian kepada pihak bomba sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih datang unruk melakukan pemantauan.

“Ini kali pertama kami kesan berlaku runtuhan yang mana jarak tebing sungai dengan pagar kawasan permainan kanak-kanak perumahan ini kurang lima meter.
“Jadi kami bimbang jika hujan berterusan akan berlaku lagi runtuhan sekali gus membahayakan nyawa kanak-kanak bermain di tempat tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Wakil penduduk, L. Francisxavier berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) berhubung kejadian tersebut kerana bimbang keadaan cuaca kini berisiko berlakunya runtuhan besar.

“Kita harap pihak berkaitan tampil buat pemantauan bagi memastikan keadaan itu betul-betul selamat kerana ia membabitkan nyawa sekiranya runtuhan berlaku,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Zairul Azli Ramli berkata, pihaknya melakukan pemantauan di lokasi selepas mendapat maklumat berhubung kejadian tersebut.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati berlaku runtuhan pada bahagian tebing sungai dengan anggaran enam meter dan pita larangan memasuki kawasan permainan kanak-kanak turut dilakukan atas faktor keselamatan.

“Susulan itu, kita juga melakukan pemantauan kali kedua pada jam 3.30 pagi tadi bagi memeriksa sama ada berlaku pergerakan tanah atau sebaliknya.
“Setakat ini tiada pergerakan baru dikesan namun kita bimbang berlaku runtuhan lagi sekiranya hujan lebat berterusan,” katanya sambil menambah kawasan itu akan dibuka kepada umum apabila didapati benar-benar selamat. – MalaysiaGazette
















