KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai agar sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berlaku mulai hari ini hingga Mac 2024, seperti yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Pemangku Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Wan Seri Rahayu Wan Mohamad Said menekankan kepentingan penggunaan peralatan elektrik secara berhemah ketika air mula meningkat di dalam rumah.
Beliau menyarankan agar semua suis utama di premis ditutup sekiranya penduduk diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Dengan ramalan hujan lebat yang berterusan di beberapa negeri, kemungkinan berlakunya banjir di kawasan berkedudukan rendah semakin tinggi.
Beliau menasihatkan agar orang ramai untuk sentiasa mengikuti dan peka terhadap maklumat, nasihat, ramalan cuaca, serta amaran yang dikeluarkan oleh MET Malaysia.
“Bagi penduduk di kawasan banjir, penting untuk mematuhi arahan pihak berkuasa jika diminta untuk berpindah. Mereka juga digalakkan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau menerusi Facebook TNB Careline jika terdapat pepasangan TNB yang terputus atau tumbang bagi tindakan segera demi keselamatan awam. TNB akan terus memantau keadaan setiap pepasangan TNB dari masa ke semasa.
“Apabila paras air mencapai tahap bahaya, TNB akan memutuskan bekalan elektrik ke kawasan terbabit untuk sementara waktu demi keselamatan orang awam. Bekalan elektrik akan dipulih semula setelah air surut dan keadaan kembali selamat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Oleh itu orang ramai dinasihatkan mematuhi panduan keselamatan elektrik berikut:
Pra banjir:
• Alihkan peralatan elektrik ke aras lebih tinggi
• Hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline untuk memutuskan bekalan elektrik jika paras air meningkat.
Semasa banjir:
• Pastikan suis utama ditutup untuk mengelakkan renjatan elektrik
• Tidak memasuki kawasan yang telah dinaiki air
• Tidak mendekati atau menyentuh pepasangan TNB
• Laporkan tiang elektrik yang tumbang dan meter yang terapung kepada TNB
• Tidak menyentuh peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir
• Hindari peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir, walaupun ianya bersalut dengan penebat
• Elakkan daripada mendekati atau menyentuh tiang besi atau mana-mana pepasangan TNB yang terendam dalam air untuk mengelakkan risiko renjatan elektrik
• Pastikan semua suis di soket aliran keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik
• Pastikan bank kuasa mudah alih (powerbank) dicaj lebih awal untuk mengecas telefon bimbit bagi memudahkan urusan komunikasi
• Sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum meninggalkan rumah untuk mengelakkan bekalan balik ke sistem pendawaian rumah
• Elakkan daripada menghampiri atau menyentuh mana-mana tiang yang menyokong pepasangan elektrik TNB atau pepasangan elektrik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Selepas banjir:
• Matikan suis utama elektrik sebelum membersihkan alat elektrik
• Periksa alat elektrik yang terendam oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST)
• Elakkan dahan pokok berhampiran talian elektrik
• Hindari gunakan galah atau tangga berdekatan talian elektrik
• Pantau anak-anak agar tidak mendekati talian elektrik rosak
Wan Seri Rahayu juga memaklumkan TNB telah bersedia menghadapi kemungkinan bencana banjir dengan persiapan rapi bagi memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan berkesan.
“Persiapan itu juga dilakukan untuk meminimumkan kerosakan pepasangan demi menjaga keselamatan orang awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















