Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 8,841 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu memuatkan lebih 2.1 juta orang disediakan bagi menghadapi banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) melanda negara yang diramal bermula bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, 332 PPS yang mampu memuatkan 129,096 orang disediakan di Sabah.

“Pada masa yang sama, selain PPS, persiapan pengurusan bencana juga melibatkan aspek penyediaan fasiliti penyimpanan barang keperluan yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Bagi Negeri Sabah, terdapat sebuah Depoh Simpinan Keperluan Bencana (DSKB), satu Stor Negeri, 21 Stor Daerah dan masing-masing lima Mini Depoh/Kontena dan Pangkalan Hadapan.,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 7 November lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata empat hingga enam episod hujan lebat diramal berlaku sepanjang musim MTL yang diramal bermula 11 Nov dan berterusan sehingga Mac 2024.

Mengulas lanjut,, Armizan berkata, pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Daerah Pitas merupakan yang pertama seumpanya di Sabah dan merupakan salah satu daripada sembilan PPKB yang bakal dibina oleh kerajaan Persekutuan seperti diumumkan dalam Belanjawan Madana 2024.

Beliau berkata, pembinaan PPKB Daerah Pitas itu melibatkan kos RM6.9 juta dan mampu memuatkan minimum 500 mangsa bencana.

“Pembinaan PPKB ini bertujuan menyediakan prasarana penempatan bencana khusus bertaraf kekal untuk tempat perlindungan sementara mangsa, bakal mempunyai kemudahan yang lebih baik berbanding PPS.

“Pusat ini akan dilengkapi kemudahan yang bersesuaian seperti dewan penginapan, tandas, bilik mandi, ruang  embasuh pakaian, dapur dan sudut makan ruang khas wanita, bilik pentadbiran dan petugas, stor makanan dan keperluan asas, bilik rawatan dan surau,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, kerajaan dalam Belanjawan Madani 2024 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan pembinaan sembilan PPKB di sembilan negeri yang sering dilanda banjir termasuk Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast