KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noordiumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Tokoh ini telah banyak jasa kepada negara di luar politik dan beliau mengatakan kesediaan untuk menawarkan diri atas tawaran BN dan UMNO.
“Kejayaan beliau atas jasa UMNO dan beliau berhasrat untuk balas jasa UMNO,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media di Menara UMNO, hari ini.
Untuk rekod, Raja Mohamed Affandi, 65, yang dilahirkan di Besut, pernah tersenarai sebagai calon untuk di Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Semasa pengumuman itu, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin jentera dan pengundi akan menerima Raja Mohamed Affandi yang dikategorikan sebagai calon langsung parti itu.
“Ini bukan kali pertama kita letak calon langsung. Sebelum ini kita letakan Datuk Ramli Mohd Nor di Parlimen Cameron Highlands.
“Saya yakin kerana beliau dibesarkan di Kemaman, keluarga beliau berada di sana, tiba waktu yang sesuai untuk UMNO meletakkan kepercayaan kepada beliau.
“Kita belum buat kajian mengenai penerimaan jentera tetapi daripada maklum balas yang dilakukan, kita yakin pengundi akan berikan dukungan kepada calon kita,” katanya lagi.
Raja Mohamed Affandi dalam pada itu berkata, beliau menerima tawaran BN untuk menjadi calon melalui satu panggilan telefon daripada Ahmad Zahid.
Dan, beliau menerima tawaran tersebut setelah berfikir panjang untuk membalas jasa baik kerajaan.
“Saya berkhidmat selama 43 tahun dan menjangkau usia 66 tahun. (Tawaran) ini adalah panggilan tugas untuk melaksana amanah dan tanggungjawab. Saya rasa inilah waktu untuk saya berbakti kepada negara khususnya di Kemaman,” katanya dalam sidang media sama.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya negeri membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette