BAYAN BARU – Sepasang suami isteri melecur pada anggota badan selepas sebahagian rumah mereka di tingkat empat Flat Jalan Tengah di Taman Bukit Gedung, Bayan Baru di sini terbakar hari ini.

Kejadian jam 1 tengah hari itu mengakibatkan Lew Joo Hing, 60, melecur pada bahagian muka dan tangan manakala isterinya, Ley Beng Lay, 58, melecur hampir separuh badan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.15 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi dengan bantuan anggota dari BBP Seri Balik Pulau.

“Sebaik tiba, kita dapati kebakaran membabitkan sebuah bilik di tingkat empat flat berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ada dua mangsa di dalam rumah itu yang terdiri daripada pasangan suami isteri.

“Wanita berkenaan dipercayai melecur sehingga 80 peratus manakala lelaki terbabit pula sebanyak 50 peratus dan mereka diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan salah seorang mangsa memasang ubat nyamuk di bawah almari di dalam bilik dan kemungkinan itu punca tercetus kebakaran.

Tambah beliau, pihaknya kemudian bertindak memadamkan kebakaran yang membabitkan kemusnahan sehingga 50 peratus.

“Pasukan penyelamat mengambil masa kurang 10 minit bagi mengawal kebakaran itu daripada merebak.

“Kita turut berdepan sedikit kesukaran ketika jentera memasuki kawasan flat terbabit susulan keadaan kenderaan diparkir namun dengan bantuan orang awam, jentera berjaya masuk ke lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette