Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador menafikan beliau terlibat dalam gerakan menarik sokongan ahli Parlimen pembangkang menyokong Perdana Menteri.

Farhash mendakwa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah membuat tuduhan fitnah terhadap dirinya dan dibuat tanpa sebarang bukti langsung.

“Saya dengan sekeras-kerasnya mengecam dan menafikan tuduhan-tuduhan fitnah yang tidak benar dan tidak berasas yang dilontarkan terhadap saya.

“Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang dakwaan tidak benar dan tidak berasas oleh Wan Fayhsal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan dua muka surat itu merujuk kepada kenyataan Wan Ahmad Fayhsal dalam sidang media di Parlimen yang mendakwa terdapat dua individu yang bertanggungjawab menarik sokongan wakil rakyat pembangkang kepada Anwar.

Menurut Wan Fayhsal, individu terbabit adalah “Datuk Botak” dan Farhash.

Wan Fayhsal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, video-video berkaitan usaha menarik sokongan wakil rakyat pembangkang boleh dilihat melalui perkongsian di laman-laman sosial seperti Facebook dan TikTok.

Dalam pada itu, Farhash berkata, beliau sudah lama tidak mengambil tahu mengenai perkembangan politik negara dan hanya menjalankan kehidupan sebagai ahli perniagaan.

Farhash juga tidak menolak kemungkinan untuk membuat satu laporan polis terhadap Wan Fayhsal atas fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.

“Saya tidak faham mengapa saudara Wan Fayhsal telah melontarkan fitnah sedemikian terhadap saya dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dan kehormatan diri saya, demi kepentingan politik beliau.

“Saya juga merizabkan hak saya untuk memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wan Fayhsal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast