Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini membentangkan Laporan Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) bagi tempoh Jun hingga September lalu.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini adalah kali kedua PAC  membentangkan Laporan LCS selepas kali pertama dibentangkan pada 9 Oktober lalu.

Jelas beliau, bagi laporan tersebut, PAC mengadakan satu prosiding berhubung perkara itu pada 3 Oktober lalu.

“Dalam prosiding berkenaan, saksi yang hadir di hadapan PAC adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak, Timbalan Ketua Setiausahanya (Pembangunan), Datuk Dr. Shahrazat dan Ketua Pengarah Pasukan LCS TLDM, Laksamana Ir. Franklin Jeyasekhar Joseph.

“Dua saksi lagi dari Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah, Izadden Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kapten (B) Ir Azhar Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati memberitahu, PAC juga bersama dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah mengadakan satu sesi lawatan kerja ke limbungan kapal BNS pada 5 Oktober lalu untuk melihat kemajuan kerja-kerja pembinaan LCS yang sedang dilaksanakan.

Kata beliau, mesyuarat penyediaan laporan itu dibuat pada 26 Oktober lalu dan turut dihadiri tujuh ahli Ex-Officio PAC.’

Ia terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara yang bersetuju dengan laporan, rumusan dan syor yang dibuat.

“Secara keseluruhannya, laporan ini menyatakan mengenai perkara-perkara seperti bkontrak tambahan 6 (SA6); perincian kos tambahan berjumlah RM 2.098 bilion; garis masa projek LCS, pengambilalihan BNS oleh Syarikat Bertujuan Khas milik Menteri Kewangan Diperbadankan iaitu Ocean Sunshine Berhad; dan varian kemajuan kerja projek LCS sehingga 25 September lalu.

“Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC berhubung Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua – LCS TLDM di bawah MINDEF bagi tempoh Jun hingga September lalu terutama rumusan dan syor boleh memuat turun laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac,” katanya. – MalaysiaGazette