Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad hadir untuk dirakamkan keterangan atas dakwaan Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin komunis dan akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ketika di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Foto MOHD ADZLAN, 14 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad hadir ke Bukit Aman untuk dirakamkan keterangan.

Beliau yang diiringi peguamnya tiba jam pada 11 pagi dilihat terus memasuki Bukit Aman.

“Dalam lebih kurang sejam lagi akan ada sidang media,” kata penguamnya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan, Bukit Aman akan mengambil keterangan Siti Mastura berkait dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan kepimpinan parti itu.

Setakat semalam, enam laporan polis sudah diterima berkait kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura dalam majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini, mengaitkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng sebagai sepupu bekas Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Selain itu, Ahli Parlimen Kepala Batas itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sebagai sepupu Kit Siang dan mengaitkan isteri Guan Eng, Betty Chew bersepupu dengan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok.

Beliau juga didakwa mengaitkan pemimpin DAP lain, termasuk Setiausaha Agungnya merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan. – MalaysiaGazette