KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Isu hartanah tidak terjual dan pembangunan berterusan di ibu negara menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Berdasarkan aturan urusan mesyuarat menerusi laman sesawang Parlimen, Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) bertanya mengenai usaha kerajaan mengatasi isu hartanah tidak terjual yang berpunca daripada ketidaksepadanan nilai hartanah dibina dengan kemampuan pemilikan rakyat.
Beliau mengajukan soalan itu kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan pada sesi soal jawab sebaik sidang Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi.
Pada sesi sama, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) bertanyakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim usaha bagi menghadapi cabaran pembangunan berterusan di Kuala Lumpur yang boleh menyebabkan masalah trafik, isu alam sekitar bandar dan perumahan.
Dalam pada itu, Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) bertanyakan Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berhubung perancangan dalam menghadapi masalah kekurangan bekalan barangan asas seperti gula, telur ayam, minyak masak dan tepung gandum serta tindakan menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan berkenaan oleh pembekal dan peruncit.
Selain itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan status terkini penubuhan Majlis Media Malaysia.
Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan. – BERNAMA