KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan apa-apa perkhidmatan yang melibatkan urus niaga, lebih-lebih lagi tawaran perkhidmatan yang mengenakan sebarang bayaran.

Ketua Pengarahnya, Zamri Misman berkata, JPN tidak pernah menyediakan sebarang khidmat ejen atau orang tengah untuk mewakilinya bagi setiap urusniaga dan perkhidmatan.

“Hadir sahaja ke mana-mana 212 pejabat JPN untuk mendapatkan maklumat mengenai prosedur permohonan atau khidmat nasihat berkaitan,” katanya.

JPN membuat kenyataan itu selepas merujuk beberapa halaman/akaun di platform media sosial terutamanya Facebook yang kerap kelihatan kebelakangan ini cuba menawarkan khidmat berbayar untuk mendapatkan dokumen-dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh Jabatan ini.

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab tersebut didapati memanipulasi platform media sosial untuk menjerat dan memperdaya orang awam terutamanya pendatang asing yang baru tiba dan tidak faham dengan prosedur rasmi pemilikan dokumen pengenalan diri di Malaysia.

Halaman/akaun yang diwujudkan menggunakan poster dan gambar-gambar rasmi JPN yang boleh didapati secara umum di internet bagi memperlihatkan halaman
tersebut sebagai akaun yang sahih untuk berurusan.

“Hasil risikan mendapati modus operandi sindiket ini bermula dengan memaparkan hantaran di Facebook yang menawarkan perkhidmatan menguruskan permohonan di JPN dengan kadar bayaran tertentu.

“Hantaran-hantaran tersebut dipaparkan dalam jangka masa yang pendek dan kemudiannya dipadamkan bagi mengelakkan kegiatan ini dihidu oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Tambah beliau, pengguna media sosial juga boleh mengambil tindakan melaporkan kepada pihak berwajib, sebarang halaman yang meragukan dan bertentangan dengan garis panduan komuniti platform media sosial berkenaan bagi mengelakkan lebih ramai pihak terpedaya. – MalaysiaGazette