Anwar Ibrahim

SAN FRANCISCO – Kuasa pertengahan seperti Malaysia dapat mengurangkan ketegangan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China ketika ia mencapai hubungan secara pragmatik dan bijaksana, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk meminimumkan risiko, iaitu konflik langsung atau pembahagian ekonomi global kepada blok tegar. Kedua-duanya dilihat berlaku tidak lama lagi, tetapi ia munasabah di bawah tekanan yang semakin meningkat ini.

“Saya tidak percaya konflik bersenjata antara kuasa besar sesuatu yang tidak dapat dielakkan, dan kuasa pertengahan seperti Malaysia boleh membantu mengurangkan ketegangan menerusi diplomasi kreatif,” kata beliau pada syarahan khas bertajuk “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific” di University of California di sini pada Rabu. Kira-kira 250 pelajar menghadiri acara itu.

Anwar berkata, masih ada ruang untuk meneruskan hubungan kukuh dengan AS dan China khususnya dalam bidang seperti perubahan iklim, peralihan tenaga, pendidikan dan hubungan antara rakyat yang menawarkan ruang kerjasama.

Menyedari percanggahan pasti akan timbul, Malaysia masih melihat nilai dalam penglibatan dengan Washington dan Beijing, kata beliau.

“Kedinamikan ekonomi, budaya inovasi dan peranan utama dalam menjamin kestabilan serantau akan memastikan ia menerajui banyak bidang tidak lama lagi.

“Melainkan berlaku kesilapan sekali-sekala dalam kedudukan dasar, keterbukaan keseluruhan Amerika terhadap imigrasi dan bakat mengekalkan kelebihan daya saing ini. Selagi persaingan keamanan masih ada, negara seperti kita tidak perlu memilih satu pihak atau yang lain,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata China akan kekal sebagai pusat kepada hal ehwal serantau kerana saiznya, kedekatannya dan hubungan mendalam dengan Asia Tenggara.

“Apabila ekonomi China matang, ia akan mengalihkan penekanan daripada pelaburan dan eksport kepada penggunaan dan perkhidmatan domestik. Skala besar penduduk China memastikan pasaran besarnya akan terus berkembang dengan ketara.

“Realiti ini bermaksud hubungan membina dengan China kekal penting, walaupun kita mengimbangi peranan Amerika yang lama bertahan.

“Melibatkan kedua-dua kuasa besar memberikan Malaysia ruang lebih strategik untuk memajukan kepentingan negara. Pada fikiran saya, mantera ini terpakai secara menyeluruh untuk seluruh Asia Tenggara, walaupun akan ada perbezaan dalam perinciannya,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Mengenai Laut China Selatan, Perdana Menteri berkata, kedudukan Malaysia berakar umbi dalam mengekalkan keperluan strategik dan ekonomi.

“Kami menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang menjejaskan integriti wilayah atau kebebasan pelayaran kami. Laluan komunikasi laut yang tidak terikat melalui Laut China Selatan adalah penting kerana negara kita akan terbahagi tanpanya,” kata beliau.

Namun begitu, Anwar bekata Malaysia percaya kuasa diplomasi ialah mekanisme terbaik untuk penyelesaian konflik.

“Kami juga amat bergantung kepada sumber minyak dan gas dalam zon ekonomi eksklusif yang sah, yang menyumbang hingga 40 peratus daripada hasil kerajaan bergantung kepada harga komoditi. Kedudukan kami adalah konsisten dan tidak berubah. – BERNAMA