- Pesta Paragliding Kuala Kubu Bharu & Pertandingan Ketepatan Mendarat 2023 dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Pesta Paragliding Kuala Kubu Bharu dan Pertandingan Ketepatan Mendarat 2023 (Terbuka) yang akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini menyasarkan kehadiran seramai 6,000 pengunjung.

Pengarah projeknya, Nazri Sulaiman berkata, daripada jumlah itu, lebih 1,000 pengunjung luar negara disasarkan pada festival yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor di Taman Tasik Melinium, Kuala Kubu Bahru.

Beliau berkata, festival itu akan melibatkan aktiviti pelancongan sukan udara yang popular di Malaysia untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan di Hulu Selangor seperti berikut Paragliding Fun Fly, Tandem Paragliding, Aero Modeling, Persembahan Dron dan Paramotor Microlight.

“Festival ini dianjurkan dengan matlamat untuk mempromosikan produk dan program pelancongan yang dijalankan di dalam Selangor dan Malaysia dengan memperkenalkan aktiviti-aktiviti paragliding sebagai salah satu produk sukan udara sebagai sukan lasak.

“Pada masa sama, festival ini dipromosikan sebagai pelancongan di kalangan pelbagai peringkat generasi sebagai acara sukan tahunan dalam kalendar pelancongan Selangor.

“Selain itu, ia bertujuan menjadikan Kuala Kubu Bahru sebagai hub sukan udara yang mampu menerima juruterbang-juruterbang paragliding dari dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pesta Paragliding Kuala Kubu Bharu dan Pertandingan Ketepatan Mendarat 2023 (Terbuka) menampilkan CloudBass sebagai Rakan Teknikal dan Pengurusan Koordinator yang mendapat sokongan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan Persatuan Seniman Malaysia sebagai Rakan Strategik.

Mengulas lanjut, Nazri memberitahu, penganjuran festival itu bakal memberi impak menerusi peningkatan jumlah kemasukan dan kehadiran para pelancong tempatan dan luar negara ke Kuala Kubu Bahru.

Jelas beliau, ia juga mampu merancakkan sosio ekonomi buat para penggusaha seperti premis penginapan, perusahaan industri kecil sederhana dengan pengusaha kedai pemakanan sepanjang festival berlangsung.

“Pada masa sama, festival ini turut menjadi platform sebagai pendedahan dan pengetahuan am untuk orang awam tentang sukan udara yang terdapat di Hulu Selangor sebagai gaya hidup masyarakat.

“Orang ramai dijemput hadir dan memberi sokong kepada festival julung kali diadakan ini dan maklumat lanjut boleh di dapati Facebook, Instagram, Twitter dan Tiktok festival ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast