KUALA LUMPUR – Setiap kali parti PKR mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim terkait ada hubungan intim dengan Israel atau sekutunya, terdapat pakatan atau usaha mengheret Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, bekas Perdana menteri itu berkata, perkara tersebut berlaku kononnya bukan sahaja Anwar, malah beliau juga mempunyai hubungan dengan Israel menerusi pendedahan surat-surat lama kirimannya kepada tiga Perdana Menteri negara itu.
“Kali ini, Anwar dan PKR terdedah ada hubungan dengan Liberal International (LI), sebuah organisasi yang kuat menyokong Israel.
“Sekali lagi surat-surat lama saya kepada Perdana Menteri Israel didedahkan.
“Saya tidak nafi ada tulis surat kepada Perdana Menteri Israel, tetapi surat itu bukan untuk sokong Israel. Surat itu, adalah mendesak Israel supaya tunai janji kepada Yasser Arafat,” katanya.
Dr Mahathir berkata, penyebaran semula surat-surat lama itu dilihat sebagai langkah terdesak kerana terdapat pembohongan.
“Anwar dan pemimpin PKR di dalam kerajaan mengugut akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terus mengaitkan mereka dengan Israel.
“Dahulu, pada awal tahun 2012, apabila Anwar disoal kenapa dalam Wall Street Journal dia berkata ‘menyokong segala usaha untuk mempertahan keselamatan Negara Israel – ‘I support all efforts to protect the security of the state of Israel’ yang mendatangkan kemarahan orang Melayu di Malaysia, jawabnya saya juga ada hubungan dengan pemimpin Israel.
“Sekarang, sekali lagi penyokong Anwar dan PKR mendedahkan surat-surat saya,” ujarnya.
Pendedahan surat
Tidak mengendahkan sebarang ugutan, Dr Mahathir berkata, ketiga-tiga surat itu memberi kata dua kepada pemimpin Israel bahawa mereka hendaklah menunaikan janji untuk mengiktiraf Palestin dan menghentikan peperangan terhadap orang Palestin pimpinan Arafat tidak disebut.
“Siapa sahaja boleh baca surat-surat saya.
“Selain menerbit semula surat-surat lampau yang saya utus kepada pemimpin-pemimpin Israel, mereka juga keluar surat yang kononnya saya menggelar Hamas sebagai pengganas.
“Berkait isu menggelar Hamas sebagai pengganas saya sudah jawab dan jelaskan beberapa tahun lalu. Ia boleh baca di sini: https://shorturl.at/lmnT8,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, tiada halangan untuk sesiapa pun membaca kesemua tiga surat yang di tulis kepada, Yitzhak Rabin pada 21 Disember 1993; Benjamin Netanyahu (14 Mac 1997) dan Ehud Barak (8 Jun 1999).
Pautan surat tersebut boleh dibaca di sini: https://shorturl.at/kCFY3
Jelas Dr Mahathir lagi, kerana ia disebar semula, beliau merasakan perlu menjelaskan mengapa surat itu ditulis.
“Pertamanya, dua daripada surat tersebut adalah jawapan kepada surat Rabin dan Netanyahu. Cuma surat kepada Ehud Barak saya tulis atas inisiatif sendiri.
“Kesemua surat-surat tersebut saya tulis ketika Yasser Arafat, Pengerusi Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sedang berusaha menjayakan proses damai yang dia persetujui dengan pemimpin-pemimpin Israel tersebut.
“Saya anggap Arafat, seorang nasionalis dan pejuang kemerdekaan Palestin, seorang sahabat yang akrab dan amat saya hormati.
“Apabila dia menandatangani beberapa persetujuan damai dengan Israel, dan juga di atas permintaan Arafat, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu,” katanya.
Katanya, Oslo Accord I, Oslo Accord II dan memorandum Sharm al-Sheikh adalah di antara perjanjian yang ditandatangani oleh Arafat dengan ketiga-tiga pemimpin Israel tersebut di antara tahun 1993 hingga 1999.
“Dalam tempoh itulah saya menulis surat-surat tersebut.
“Seperti yang saya nyatakan, dua daripadanya jawapan kepada Rabin dan Netanyahu. Mungkin mereka menulis kepada saya kerana saya rakan Arafat atau mungkin kerana Malaysia ada sedikit pengaruh untuk membantu proses damai tersebut.
“Sesiapa yang meneliti surat-surat tersebut dapat lihat pendirian saya menyokong usaha damai yang dipersetujui oleh PLO.
“Saya juga mengatakan sebarang hubungan antara Malaysia dan Israel hanya akan berlaku jika proses damai itu berjaya,” jelasnya lagi.
Dr Mahathir berkata, surat-surat itu juga mengandungi peringatan kepada pemimpin-pemimpin Israel supaya tidak merampas sesuatu yang menjadi kepunyaan orang lain, jika pun pada satu masa dahulu ia kepunyaan mereka.
“Saya mengkritik Israel meruntuh kediaman orang Arab untuk mendiri rumah orang Israel.
“Banyak lagi yang saya tulis. Semua ini boleh dibaca di dalam surat-surat tersebut. Tidak ada perlu saya nafi atau cuba putar fakta.
“Saya terus dengan usaha tersebut sehinggalah Arafat berhenti berusaha kerana Israel sememangnya tidak mahu kepada perdamaian,” ujarnya.
Beliau berkata, pada masa surat itu diutus, tidak ada yang lebih penting daripada melihat keselamatan dan kesejahteraan orang Palestin.
“Saya selalu ingatkan diri bahawa saya tidak penting.
“Kerana itu ugutan, fitnah dan ancaman dari Israel mahupun Amerika Syarikat tidak saya hirau kerana apa yang saya hadapi berbanding dengan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin saban hari terlalu kecil untuk saya perkatakan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette