ARAU – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), manakala seorang EXCO sedia ada digugurkan bagi penggal baharu yang berkuat kuasa 25 November ini.
ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil dilantik memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan menggantikan ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail yang digugurkan.
ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak pula dilantik memegang portfolio Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Wilayah Ekonomi Baharu dan Pemerkasaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif.
Asrul Aimran dan Wan Zikri Afthar mengangkat sumpah jawatan EXCO di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau di sini hari ini.
Turut berangkat pada istiadat angkat sumpah itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Sementara itu, lima EXCO sedia ada turut mengangkat sumpah jawatan EXCO hari ini di hadapan Raja Perlis selepas dilantik semula memegang jawatan berkenaan bagi penggal baharu, namun terdapat perubahan bagi portfolio masing-masing.
EXCO terlibat ialah ADUN Santan Muhammad Azmir Azizan yang bertanggungjawab terhadap portfolio Hal Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan; manakala Izizam Ibrahim (ADUN Titi Tinggi) memegang portfolio Aduan Awam, Infrastruktur dan Pengangkutan Awam, Hubungan dan Kerjasama Sempadan dan Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu.
Selain itu, Megat Hashirat Hassan (ADUN Pauh) dilantik ke portfolio Kesihatan, Kebajikan dan Pengurusan Bencana, Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Hijau, Alam Sekitar dan Perpaduan; Wan Badariah Wan Saad (ADUN Mata Ayer) memegang portfolio Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; dan Razali Saad (ADUN Simpang Empat) ke portfolio Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, Hal Ehwal Pengguna dan Kos Sara Hidup dan Kemajuan Desa dan Luar Bandar. – Bernama