GEORGE TOWN – Intipan sepasukan Polis Marin Wilayah Satu selama dua hari berjaya membongkar rahsia sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Choong Lye Hock, Tanjong Tokong, di sini, yang dijadikan stor simpanan rokok seludup dalam serbuan pada Selasa lalu.

Serbuan jam 6 petang itu membawa kepada rampasan rokok putih dianggarkan bernilai RM5.12 juta termasuk cukai namun tiada tangkapan dilakukan.

Komander Pasukan Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya melakukan permerhatian ke atas rumah berkenaan pada 12 November lalu namun dalam tempoh 48 jam tiada sebarang pergerakan keluar masuk.

Shamsol (tengah) bercakap pada sidang media hari ini.

Kata beliau, susulan itu, pihaknya menyerbu rumah teres dua tingkat itu sebelum mendapati lokasi itu dijadikan stor simpanan rokok seludup.

“Pemeriksaan lanjut dalam rumah itu membawa kepada penemuan 24,500 karton bersamaan 4.9 juta batang rokok putih bernilai RM5.12 juta termasuk cukai.

“Ini merupakan rampasan terbesar bagi Pulau Pinang untuk tahun ini.

“Susulan itu, kita juga memanggil pemilik rumah bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi Shamsol berkata, siasatan awal pihaknya mendapati rokok terbabit dibawa masuk dari negara jiran menerusi jalan laut.

“Kita percaya mereka melakukan pemindahan rokok ini dari sebuah bot ke bot lain di tengah laut sebelum ia dikumpulkan di rumah sewa tersebut untuk diedarkan bagi pasaran tempatan.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan sindiket mempunyai banyak lokasi yang dijadikan stor transit bagi elak dikesan pihak berkuasa berikutan beberapa siri operasi yang dilakukan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette