Hazrul Shazreen Abd Yazid

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang Pengerusi Jawatankuasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sebuah daerah, semalam.

Suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam memperakui borang bantuan bencana banjir yang mengandungi butir matan palsu pada 2022 bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) di negeri itu.

Sumber berkata, suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

”Borang tersebut ialah berkaitan maklumat ketua isi rumah atas nama anak kandungnya sendiri bagi mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 yang sebenarnya anaknya tidak layak untuk bantuan tersebut.

”BWI berjumlah RM1,000 merupakan inisiatif kerajaan dalam memberi bantuan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, katanya, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangannya selesai diambil. – MalaysiaGazette