Datuk Razali Idris

KEMAMAN – Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan ‘perang’ dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu menarik sokongan wakil rakyat Bersatu menyokong kerajaan.

Ia sekali gus menegaskan gabungan PN itu bukan berperang dengan UMNO, kata Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris.

”Peperangan sebenar PN bukan dengan UMNO tetapi dengan PMX (Anwar). Sogokan merata (banyak rasuah)  dan tarik ahli Bersatu menyokongnya. Sehingga ada ahli Parlimen mengaku disogok,” katanya.

Justeru katanya beliau mengharap seluruh warga PN perlu bekerja keras untuk jangka masa panjang demi kestabilan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

”Selesai penamaan calon ini, PN perlu persiapkan jangka masa panjang. Jangan mudah disogok sehingga lupa sahabat,” katanya semasa majlis pengumuman calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman malam tadi.

Sebelum ini, empat ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Sementara itu, PN juga telah mengumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon bagi PRK Parlimen Kemaman (P040).

Manakala BN telah mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini.

PRK itu diadakan selepas keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu pada PRU15 tahun lepas berhubung isu rasuah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias Hamid dari Pas menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Che Alias berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340) undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab.Ghani (506) undi – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast