Azalina Othman Said.

KEMAMAN – Barisan Nasional (BN) yakin dengan kredibiliti calon ditawarkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sekali gus tidak tergugat dengan keputusan PAS meletakkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calonnya.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata calon BN iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah yang terbaik kerana beliau orang Kemaman.

“Saya yakin dengan perwatakan, pengalaman dan kerjaya beliau, kita di BN menawarkan seorang yang akan memberi khidmat kepada BN dan pengundi di Kemaman.

“Bagi saya bila nak memilih Ahli Parlimen keutamaan kepada calon adalah orang yang boleh memberi perkhidmatan dan saya yakin calon kita tawarkan akan memberi fokus kepada pengundi Kemaman sebagai agenda utama perjuangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama jentera Penerangan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut mencabar Samsuri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya beliau betul-betul ikhlas mahu mewakili dan berkhidmat untuk penduduk Kemaman sebagai Ahli Parlimen.

“Dalam sistem Westminster, memilih calon yang tidak memberi perkhidmatan sebab beliau (selalu) di luar kawasan, yang rugi adalah orang di kawasan itu.

“Kalau beliau yakin, saya nak cabar beliau hari ini letak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, fokus kepada Parlimen Kemaman, lawan satu dengan satu, baru adil,” katanya.

Semalam PAS mengumumkan Ahmad Samsuri sebagai calon parti itu bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman pada PRK yang dijadualkan bermula esok dengan penamaan calon dan 2 Dis ini bagi hari mengundi.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast