Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seramai 533 pekerja syarikat penerbangan tambang murah MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat semalam.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata daripada jumlah itu, PERKESO telah meluluskan 277 permohonan.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) prihatin dalam memastikan pekerja MYAirline tidak tertindas biarpun status kontrak perkhidmatan mereka seakan-akan tergantung.

“Pihak PERKESO juga telah buat apa yang patut dilakukan setakat ini dan dalam proses untuk mengetahui sama ada pekerja terjejas telah menerima surat pemberhentian kerja dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas hadir program PERKESO Run&Ride 2023 di sini hari ini.

SIP bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada pekerja yang hilang pekerjaan sehingga mereka mendapat pekerjaan baharu.

Sebelum ini, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Okt sehingga diberitahu kelak antara lain disebabkan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed pada 2 Nov lepas dilaporkan berkata pihaknya sudah menjalankan lima program intervensi dalam membantu merungkai kemelut dialami pekerja MYAirline.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast