Subbarow.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dan kecewa dengan keputusan kerajaan menggugurkan peruntukan generasi penamat rokok (GEG) daripada Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 seperti tular menerusi portal CodeBlue, baru-baru ini.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV. Subbarow berkata, keputusan itu seolah-olah memperkecil dan mengabaikan sokongan lebih 9.2 juta rakyat Malaysia serta pandangan pakar kesihatan, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyambut baik dan mengalu-alukan inisiatif GEG.

Katanya, GEG adalah satu bentuk perisai bagi melindungi generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya daripada ancaman sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape.

“Generasi yang belum terdedah kepada ketagihan nikotin seharusnya kekal tidak terdedah kepada nikotin seumur hidup memandangkan bahan itu mempunyai tahap kebergantungan lebih tinggi berbanding dadah lain seperti heroin, ganja dan lain-lain.

“Peruntukan GEG ini penting memandangkan peratus perokok di negara ini masih tinggi dan ditambah dengan beban peratus pengguna rokok elektronik atau vape yang semakin meningkat.

“Malah ia juga menyukarkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) merawat dan menjamin tahap kesihatan rakyat Malaysia supaya sentiasa berada di tahap optimum,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Subbarow, RUU itu seharusnya tidak dijadikan atau dikaitkan dengan isu politik sebaliknya isu kesihatan yang perlu dipandang serius oleh semua Ahli Parlimen bagi melindungi masyarakat daripada ancaman bahaya produk merokok.

“Jabatan Peguam Negara seharusnya membantu kerajaan dalam menjayakan peruntukan GEG itu dan bukannya menyerah sebelum dicabar,” katanya.

GEG dibangkitkan sejak mula ia dicadangkan dalam RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam dan sudah dua kali dibentangkan di Sidang Dewan Rakyat dengan diteliti empat Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen.

Kandungan perbincangan berkaitan perkara itu juga dapat diteliti menerusi laporan Penyata JKPK Menimbang RUU 2022 dan JKPK Kesihatan 2023 yang tersedia di portal Parlimen Malaysia. – MalaysiaGazette