Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali

PUTRAJAYA – Umat Melayu dan Islam di negara ini perlu memperjuangkan kesucian agama setanding rakyat Palestin di Gaza yang bersungguh-sungguh memperjuangkan hak hingga sanggup menggadaikan nyawa.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, Islam tidak akan selamat selagi pemimpin-pemimpin yang pegangan agamannya Islam, namun tidak tegas untuk mempertahan dan memperjuangkan kesucian agamanya.

“Sebab itu selagi kita mengangkat pemimpin yang rasuah, yang akhlak tak baik, akhlak yang melakukan perkara-perkara di luar tabie, kurang ilmu, berpura-pura, berlagak, sombong, tunggulah natijahnya Allah taala akan turunkan bala.

“Ini baru perkara kecil nak mempertahankan syariat Islam di mahakamh dan bukan dihujung senapang,” katanya berucap di pentas Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Dalam pada itu Ibrahim turut menyeru agar Raja-Raja Melayu campurtangan dalam isu yang sedang diperjuangkan oleh rakyat berhubung hak dan kepentingan Islam pada hari ini.

Katanya, perkara itu merupakan tanggungjawab Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama di negeri-negeri dan ia sudah semestinya wajar untuk diambil peduli.

“Hari ini kita nak merapat sembah ampun perkenan, wahai Raja-Raja Melayu…ini tugas Raja- Raja Melayu menyelesaikan kedudukan di Mahkamah Syariah ini.

“Kalau tidak apa maknanya, malu kita…negara agama Persekutuan Islam, penduduk majoriti Islam, pemimpin Islam, tapi Melayu Islam hari-hari punah ranah…hari-hari jahanam,” ujarnya.

Ibrahim berkata, sebagai rakyat beliau akan tetap menjunjung institusi raja, namun pada masa sama beliau mahu melihat Raja-Raja Melayu melakukan sesuatu supaya umat Islam tidak akan berada dalam kepanasan dan kegelisahan seperti yang dilihat pada hari ini.

Untuk rekod, lebih 2,000 orang yang terdiri daripada penyokong Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta pemimpin-pemimpin NGO hari ini bergabung dalam perhimpunan berkenaan.

Himpunan aman itu bagi mempertahankan undang-undang syariah yang dicabar pihak tertentu, susulan petisyen seorang peguam dan anaknya apabila mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Antara pemimpin pembangkang yang diihat menyertai himpunan itu, antaranya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan menyambung sidang hari ini bagi mendengar petisyen Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan Kelantan.

Dua beranak itu mendakwa 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan bertindan dengan undang-undang persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Peruntukan itu antara lain ialah memusnahkan tempat ibadat, pelacuran dan pelbagai kesalahan seksual lain, termasuk homoseksual, memberi keterangan palsu serta pemalsuan dokumen.

Mereka berhujah undang-undang jenayah terbabit merupakan bidang kuasa Parlimen, justeru mahu mahkamah tertinggi itu mengisytiharkan peruntukan dalam enakmen berkenaan terbatal dan tidak sah. – MalaysiaGazette