KUALA LUMPUR – Jumlah siswazah di Malaysia meningkat sebanyak 5.1 peratus, mencapai bilangan siswazah sebanyak 5.29 juta orang pada 2022, namun kadar pengangguran siswazah mengalami penurunan kepada 3.7 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, persekitaran ekonomi yang positif pada 2022 telah menyebabkan peningkatan bilangan siswazah di Malaysia.

Bilangan ini merangkumi 23.1 peratus daripada penduduk dalam umur bekerja 15 tahun dan ke atas.

Daripada jumlah tersebut, siswazah lulusan ijazah meliputi 53.9 peratus atau bersamaan dengan 3.19 juta orang manakala lulusan diploma terdiri daripada 46.1 peratus (2.73 juta orang).

Daripada keseluruhan siswazah pada tahun tersebut, sebanyak 5.06 juta orang berada dalam tenaga buruh merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh siswazah (KPTBS) sebanyak 85.4 peratus.

Perbandingan tahun ke tahun, bilangan siswazah lepasan ijazah dalam tenaga buruh naik 5.6 peratus (+151,700) manakala siswazah lepasan diploma meningkat sebanyak 5.5 peratus (+114,600) berikutan peningkatan dalam siswazah bekerja dan penurunan dalam bilangan siswazah menganggur.

“Pada 2022, ekonomi Malaysia telah memperoleh momentum ke arah pemulihan secara beransur-ansur, mendorong kedudukan pasaran buruh yang lebih baik sepanjang tahun berbanding tahun 2021.

“Sejajar dengan itu, bilangan siswazah bekerja meningkat sebanyak 6.0 peratus untuk mencatatkan 4.87 juta orang (2021: 4.59 juta orang).

Sekitar dua pertiga (65.6%) daripada siswazah bekerja adalah dalam kategori pekerjaan mahir, menyumbang seramai 3.19 juta orang.

“Sumbangan tertinggi bagi kategori pekerjaan mahir iaitu sebanyak 38.4 peratus (1.87 juta orang) adalah mereka yang bekerja dalam pekerjaan profesional, diikuti oleh juruteknik dan professional bersekutu dengan 17.7 peratus (860,400 orang),” katanya dalam kenyataan di sini.

Siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir merangkumi 32.8 peratus (1.60 juta orang) adalah sebahagian besarnya bekerja sebagai pekerja perkhidmatan dan jualan (14.0%), diikuti pekerja sokongan perkeranian (10.7%) dan pekerja kemahiran dan pekerja pertukangan yang berkaitan (4.9%).

Selebihnya iaitu 1.6 peratus (78,100 orang) adalah mereka yang bekerja dalam kategori berkemahiran rendah yang mana menunjukkan penurunan sebanyak 23.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dari segi taraf pekerjaan bagi siswazah bekerja, bilangan dalam kategori pekerja yang merangkumi 89.7 peratus menunjukkan peningkatan walaupun pada kadar lebih
perlahan sebanyak 5.4 peratus (+222, 200 orang) berbanding tahun sebelumnya (2021: 9.2%).

Sebaliknya, kategori majikan yang meliputi 4.7 peratus telah mencatatkan kenaikan sebanyak 14.3 peratus (2021: 3.1%) manakala bilangan bagi kategori bekerja sendiri yang terdiri daripada 4.6 peratus siswazah bekerja sendiri terus merekodkan peningkatan sebanyak 14.7 peratus pada 2022 (2021: -36.7%).

Mengikut sektor ekonomi, majoriti siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan (76.7%), diikuti dengan 14.4 peratus dalam sektor Pembuatan dan 5.7 peratus di
sektor pembinaan.

Sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian masing-masing menyumbang 2.2 peratus dan 0.9 peratus.

Peningkatan tahun ke tahun dalam kalangan siswazah bekerja berlaku dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan perlombongan & pengkuarian manakala sektor pembinaan merekodkan penurunan.

Sektor perkhidmatan mencatatkan pertambahan terbesar dalam siswazah bekerja (+190.7 ribu orang) terutamanya berikutan peningkatan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit dan makanan & minuman dan penginapan.

Melihat kepada situasi pengangguran pada tahun tersebut, Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran siswazah mengalami penurunan sebanyak 0.4 mata peratus untuk mencatatkan 3.7 peratus pada 2022 (2021: 4.1%).

Bilangan siswazah yang menganggur berkurang sebanyak 5.5 peratus (-10,900) pada 2022 bagi mencatatkan 187,800 orang.

Berdasarkan analisis berkaitan sijil, didapati bahawa jumlah siswazah menganggur lepasan diploma berkurang sebanyak 5,500 individu, manakala bilangan siswazah menganggur lepasan ijazah menurun sebanyak 5,300 orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast