Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

PUTRAJAYA – Pas mempersoalkan semula sikap Parti Amanah Negara (Amanah) yang membisu ketika undang-undang syariah dicabar oleh pihak-pihak tertentu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tindakan membantah petisyen dua individu mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dilakukan oleh Pas pada masa ini disebabkan ia sudah jelas dan telah dibicarakan di mahkamah.

Katanya, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa tidak perlu mempertikaikan tindakan Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang membantah petisyen tersebut pada masa ini.

“Kenapa pertikaikan kami yang sebelum ini tak tahu pun. Isu dia sebenarnya semua pihak tidak tahu pun.

“Apa yang jelas, isu tersebut  (sekarang sedang) dibicarakan buat waktu ini,” katanya kepada kepada media ketika ditemui selepas menghadiri Himpunan Selamatkan Syariah di Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Pada 11 November lepas, Mujahid mempersoal tindakan PN yang seakan-akan baru menunjukkan keprihatinannya, terhadap isu petisyen dua individu mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mujahid dipetik berkata, gabungan politik itu tidak pernah membuat bantahan menyelamatkan undang-undang syariah sejak notis usul difailkan pada 25 Mei 2022, manakala petisyen difailkan pada Oktober tahun sama.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan kembali kenapa Mujahid tidak berbuat apa-apa selepas mengetahui enakmen itu dicabar.

“Soal saya kenapa dia tak buat sesuatu. Sekarang dia tahu, apa dia buat. Sepatutnya jangan pertikaikan apa kita buat sekarang,” tegasnya.

Tuan Ibrahim kecewa selepas Amanah dan parti lain daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak hadir dalam himpunan yang dihadiri kira-kira 2,000 peserta.

Katanya, isu tersebut bukan isu Pas atau PN sebaliknya ia mengenai ummah.

“Saya sangat kecewa sebab kita jemput semua pihak. Ini bukan isu parti politik.

“Semua pihak kita jemput tetapi tak hadir seolah-olah isu ini cuma salahkan Pas. Sepatutnya mereka hadir menyatakan bersama rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim tidak menolak akan ada himpunan lain dianjurkan selepas ini sekiranya ada ancaman berterusan dilakukan terhadap orang Islam.

“Ini permulaan. Kalau ada ancaman berterusan, tak mustahil jutaan umat Islam turun,” katanya.

Himpunan aman yang diadakan hari ini adalah bagi mempertahankan undang-undang syariah daripada dicabar pihak tertentu.

Pas merupakan penganjur utama himpunan itu yang turut disertai beberapa parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast