KUALA LUMPUR – Status warganegara pemain naturalisasi negara, Lee Tuck menimbulkan persoalan selepas menyertai Kejuaraan Velites Hyrox Barcelona 2023 yang diadakan di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini.
Menurut perkongsian di Facebook miliknya, bekas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC itu kelihatan berdiri di atas podium selepas menjuarai acara sukan lasak itu.
Namun perkongsiannya itu menimbulkan pelbagai persoalan apabila Lee Tuck yang menyertai pertandingan berkenaan adalah sebagai seorang warganegara Britain.
Ini kerana menurut Perlembagaan, rakyat Malaysia tidak boleh memiliki dua kewarganegaraan dan prinsip dalam Perkara 24 memberi kuasa kepada kerajaan untuk melucutkan kewarganegaraan ke atas warga negara yang memperoleh kewarganegaraan negara lain.
Pada September tahun lalu, Lee Tuck akhirnya berjaya mendapat kerakyatan Malaysia selepas melalui satu proses naturalisasi yang agak panjang.
Menerusi satu kenyataan dalam Instagram miliknya, Lee Tuck bersyukur apabila dia sudah pun menerima kewarganegaraan Malaysia selepas menempuh pelbagai onak dan duri.
Perancang tengah berbakat berusia 34 tahun itu merupakan warganegara England, namun sudah beberapa tahun beraksi di Liga Malaysia.
Bagaimanapun, pemain kelahiran England itu secara tiba-tiba membuat kejutan apabila mengumumkan sudah tidak lagi bersama skuad Sang Kenari.
Keputusannya itu diikuti dengan tindakannya yang pulang ke United Kingdom dan dia kini difahamkan bergelar seorang ejen hartanah berjaya di sana. – MalaysiaGazette