Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani plak sempena lawatan rasmi ke MIMOS Berhad di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM80 juta kepada MIMOS Berhad bagi membolehkan projek ID Digital Nasional dapat dilaksanakan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menerima jaminan bahawa projek tersebut dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

“Dengan syarat kerajaan meluluskan peruntukan untuk membeli pelayan sekarang.

“Jadi saya dah minta supaya Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyalurkan RM80 juta minggu depan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap selepas melawat MIMOS Berhad di Taman Teknologi Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Anwar memberitahu, peruntukan yang disalurkan lebih awal itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan transformasi digital serta membangunkan inisiatif digital khususnya yang melibatkan urusan dengan kerajaan.

“Peruntukan yang besar RM80 juta, ini permulaan sahaja, akan ada peruntukan lain,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau meminta pendaftaran ID Digital Nasional dimulakan minggu depan oleh kementerian dan jabatan kerajaan.

“Menteri, ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah dan ketua jabatan harus memulakan pendaftaran,” katanya.

Anwar berkata, pendaftaran ID Digital Nasional juga merupakan langkah awal dalam pemberian subsidi bersasar serta pelbagai kemudahan lain oleh jabatan kerajaan dan pihak swasta.

ID Digital Nasional berperanan sebagai platform yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi digital.

Sistem itu tidak menggantikan penggunakan dan fungsi MyKad, sebaliknya ia memberi nilai tambah khususnya dari segi keselamatan. – MalaysiaGazette