Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim

KUALA LUMPUR – Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) yang menimbulkan kontroversi antara empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang mengutarakan soalan kedua pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) menegaskan masih lagi Ahli Parlimen PN sebagaimana sebelum ini.

“Saya masih Ahli Parlimen Perikatan Nasional dan saya juga mengesahkan kenyataan yang dibuat itu adalah daripada saya sendiri tanpa ada apa-apa unsur paksanaan atau pun sebaliknya.

“Itu semua dari keikhlasan saya,” katanya sebelum mengutarakan soalan kepada Anwar di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata Mohd Azizi kini berada di blok kerajaan.

Pada 7 November lalu, Mhd Azizi mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri,berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

“Setelah meneliti dan mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan rakyat, saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azizi menjadi ahli Parlimen ketiga daripada PN yang mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.

Terbaharu, Zahari Kechik (PN-Jeli) pula membuat tindakan sama dengan alasan permasalahan kos sara hidup dan himpitan keperluan asas yang dihadapi rakyat di kawasan tersebut termasuk isu pembangunan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast