Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan (kanan) bersama Hakim Mahkamah Bandar Baru Bangi, Yang Arif Effandi Nazila Abdullah pada Majlis Pelupusan Barang Kes dan Lelongan Kenderaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor. Foto NUR SYADILA AMARI, 22 NOVEMBER 2023.

BANGI – Sebuah lagi sekolah antarabangsa di Kajang menerima ancaman bom, kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Jelas beliau, perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya selepas pihak pengurusan sekolah membuka satu e-mel ancaman bom berkenaan pagi ini.

“Satu ancaman bom di sekolah antarabangsa semalam dan pagi ini satu lagi ancaman. Saya rasa pihak sekolah baru buka e-mel pagi ini dan mereka baru sedar.

“Pemeriksaan kita dapati tidak ada apa-apa,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelupusan barang kes dan lelongan lenderaan ibu pejabat polis daerah Kajang tahun 2023 di Balai Polis Bandar Baru Bangi hari ini.

Sejumlah RM2.4 juta bahan rampasan terdiri daripada mesin slot, komputer, telefon bimbit dan arak serta minuman keras dilupuskan hari ini.

Mohd Zaid turut menjelaskan, satu kertas siasatan telah dibuka ekoran ancaman bom berkenaan di daerah lain di Selangor.

Insiden itu menjadikan dua buah sekolah di daerah ini yang telah menerima e-mel ancaman bom selepas sebuah sekolah diarahkan tutup selepas menerima ancaman.

Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, hasil siasatan di sekolah antarabangsa semalam mendapati tiada apa-apa bahan letupan dikesan.

“Kita dapati tidak ada apa-apa bahan letupan dan tiada benda mencurigakan dan kita serahkan semula sekolah kepada pengurusan sekolah untuk jalankan aktiviti seperti biasa,” katanya lagi.

Semalam sembilan buah sekolah di Lembah Klang dilaporkan menerima laporan palsu berkaitan ancaman bom.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ancaman bom itu membabitkan tujuh sekolah antarabangsa di Selangor, dua lagi sekolah di ibu negara. – MalaysiGazette