Bagi memastikan Ipoh menjadi salah satu destinasi tumpuan pelancong bersempena Tahun Melawat Perak 2024, MBI memperkenalkan aspek pelancongan ‘3H’ iaitu Hipster, Heritage & Health Pekan Lama Ipoh
Suasana para peniaga dan pengunjung di sekitar Pekan Lama Ipoh yang dinaik taraf namun masih mengekalkan bangunan-bangunan lama yang kini menjadi lokasi tumpuan pelancong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 NOVEMBER 2023.

Ipoh yang diberi jolokan ‘Little Singapore’ dalam kalangan pelancong kini dilihat semakin pesat membangun dengan penambahan kemasukan pelancong domestik mahupun antarabangsa.

Maka tidak hairanlah apabila Tahun Melawat Ipoh 2023 diperkenalkan sebagai persediaan bagi menghadapi Tahun Melawat Perak 2024 pada tahun hadapan.

Justeru itu, pelbagai usaha dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak bagi memastikan bandar raya ini menjadi salah satu destinasi tumpuan pelancong bersempena Tahun Melawat Perak 2024.

Pelaksanaan itu juga selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Agenda Utama Ke-6 di bawah Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri yang juga merupakan sebahagian daripada Agenda atau Flagship Ke-10 iaitu Ekonomi Pengalaman yang berteraskan empat sektor utama termasuk pelancongan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, bagi mencapai matlamat tersebut MBI telah memperkenalkan aspek pelancongan yang dikenali sebagai ‘3H’ iaitu Hipster, Heritage (warisan) dan Health (kesihatan).

Menurut Rumaizi, aspek pelancongan yang mula dilaksanakan sejak 2021 itu dibahagi mengikut kesesuaian lokasi dan produk yang terdapat di sekitar bandar raya Ipoh.

“Dari segi hipster, kita memfokuskan pelancongan gastronomi (makanan dan minuman) serta muzik.

“Sebenarnya, tarikan pelancong melalui makanan dan minuman sudah lama bertapak di Ipoh, cuma kini kita sedang menaik taraf kawasan sedia ada seperti di Concubine Lane (Lorong Panglima) dan Canning Garden (Taman Canning).

'3H' diperkenalkan MBI, rancakkan Tahun Melawat Perak 2024
Kafe di Pekan Lama Ipoh yang masih mengekalkan bangunan lama kini menjadi lokasi tumpuan pelancong di bandar raya Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 NOVEMBER 2023.

“Terbaharu, kita bangunkan Paloh Street Food Paradise di Jalan Theatre yang diadakan pada setiap malam Sabtu bertujuan untuk menghidupkan suasana cuti hari minggu.

“Selain itu, kita turut menarik beberapa pemain industri antarabangsa, contohnya Hard Rock Café yang akan dibuka pada Disember ini,” katanya.

Sementara itu, menerusi aspek heritage, beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada lokasi gunung batu kapur di sekitar bandar raya ini.

Ujar beliau, selepas kejatuhan perlombongan bijih timah, aktiviti pengkuarian di gunung batu kapur dijadikan hasil pendapatan utama di Ipoh.

“Kadang-kadang kita tidak sambung (aktiviti pengkuarian), malah banyak orang marah kita gunakan kuari maka banyak kawasan-kawasan kuari gunung ini ditinggalkan.

“Jadi, kita ubah gunung-gunung kuari ini sebagai pusat pelancongan antaranya termasuklah Tasik Cermin, Gunung Matsoorat dan Qing Xin Lin Leisure and Village di Gunung Rapat.

“Apabila kita bangunkan produk ini, ia menjadi produk baharu dan kita tambahkan elemen seperti membuka kedai makan di kawasan tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, pembangunan ketiga-tiga kawasan pelancongan itu tidak menggunakan wang kerajaan atau rakyat sebaliknya dibangunkan melalui insiatif kewangan swasta (PFI).

'3H' diperkenalkan MBI, rancakkan Tahun Melawat Perak 2024
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin. Foto ABDULLAH YUSOF.

Bagi aspek ‘health’ atau pelancongan kesihatan, Rumaizi berkata, ia juga akan menjadi tarikan sempena Tahun Melawat Perak 2024 yang menyasarkan pelancong kesihatan dari Indonesia dan Singapura.

Jelas beliau, sehingga kini terdapat tujuh buah hospital swasta yang beroperasi di Ipoh dan penambahan tiga lagi hospital swasta yang akan siap dibina dan beroperasi pada masa terdekat.

Katanya, ia termasuk Pusat Perubatan Sunway di Tambun, Quill Medical Centre di Jalan Sultan Nazrin Shah yang sedang dalam pembinaan serta Hospital Seri Botani yang baru saja memulakan operasinya Mac lalu.

Tambahnya, Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan yang sedang dibangunkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Bandar Meru Raya juga akan menjadi pusat sehenti bagi rawatan pemulihan strok termasuk untuk pesakit luar negara yang memerlukan rawatan tersebut.

“Kalau kita nak jadi bandar pelancongan kesihatan sekurang-kurangnya kita perlu ada 1,000 buah katil,” katanya. – MGPerak

BACA SELANJUTNYA DI MGPERAK:

‘3H’ diperkenalkan MBI, rancakkan Tahun Melawat Perak 2024

MGPerak: Datuk Lat Bangga Dikurnia Watikah Seniman Diraja

‘3H’ diperkenalkan MBI, rancakkan Tahun Melawat Perak 2024