CAMU RUU Kesatuan Sekerja
CAMU menyuarakan bantahan terhadap beberapa pindaan yang terkandung dalam RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023.

KUALA LUMPUR – Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) menggesa ahli-ahli Dewan Negara menolak 16 daripada 36 fasal dalam Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023.

Pengerusi bersama 38 kesatuan di bawah CAMU, Rudy Rusly berkata, fasal-fasal tersebut merugikan serta mencabuli hak pekerja dan menghakis kebebasan kesatuan sekerja.

Beliau turut mencadangkan agar RUU tersebut dikaji semula di Dewan Rakyat dan memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam isu tersebut.

“CAMU sedia membantu dalam apa cara sekali pun jika diperlukan demi mendorong ke arah peningkatan taraf hidup rakyat serta jaminan maruah pekerja di negara ini terbela,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu selepas dibahaskan oleh 14 ahli Parlimen.

Pada sesi penggulungan, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menjelaskan, pindaan Akta 262 itu bakal mewujudkan kesatuan sekerja yang lebih matang, progresif serta bersaing secara sihat bagi memastikan faedah-faedah pekerja dapat dipertingkatkan.

Rudy berpandangan, Konvensyen 87 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang dimaklumkan pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu telah disalahertikan.

Menurut beliau, konvensyen tersebut yang tidak dirafikasikan oleh kerajaan tidak mempunyai kaitan dengan kebebasan berpersatuan dan kepelbagaian kesatuan.

“Ini amat merunsingkan warga pekerja kerana pendapat ini amat mengelirukan,” jelasnya.

Beliau menambah, konvensyen yang sama juga tidak mempromosikan kuasa lebar luas kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dan tidak juga melemahkan kuasa tawar menawar kesatuan pekerja.

Rudy berkata, CAMU berpendapat, pindaan dalam RUU tersebut yang dikaitkan dengan obligasi kerajaan atas ratifikasi serta pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) sebagai mencabar kedaulatan negara.

Beliau memberitahu, pindaan tersebut bersifat regresif dan tidak progresif manakala Mahkamah Persekutuan pada 2017 telah memutuskan bahawa kepelbagaian kesatuan sekerja akan mewujudkan ketidakharmonian.

“Kepelbagaian kesatuan sekerja tidak akan meningkatkan bilangan keahlian. Ia akan hanya menambahkan bilangan kesatuan sekerja sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette