Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berucap pada majlis penyerahan anugerah Restoran Dan Kafe Terbersih Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh sempena sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia 2023 di Majlis Bandaraya Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 OKTOBER 2023 Majlis Bandaraya Ipoh PBT terbaik
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berucap pada majlis penyerahan anugerah Restoran Dan Kafe Terbersih Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh sempena sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia 2023 di Majlis Bandaraya Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 OKTOBER 2023

BARU dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik Kategori Bandaraya sempena Anugerah Kecemerlangan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023, perjalanan Datuk Rumaizi Baharin sebagai Datuk Bandar Ipoh tidak bermula dengan mudah.

Mengungkap kenangan tiga tahun lalu sewaktu dilantik menjadi Datuk Bandar Ipoh pada 1 April 2020, Rumaizi berkata, cabaran pertama beliau hadapi adalah berdepan dengan penularan wabak Covid-19 yang memuncak ketika itu.

Bagaimanapun, anak jati kelahiran Ipoh yang kini menginjak usia 45 tahun itu tidak cepat melatah, sebaliknya mengatur strategi terbaik bagi membangunkan Ipoh untuk menjadi sebuah bandar raya pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyampaikan Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik kepada Datuk Rumaizi Baharin ketika di Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 di The St. Regis, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto MOHD ADZLAN.

Langkah pertama yang diambil Rumaizi adalah dengan melakukan mesyuarat Unit Hentian Setempat (OSC) secara dalam talian yang pertama di Perak dan Malaysia sebulan selepas Covid-19.

Beliau mula melaksanakan segala tugasan dengan mengubah dan menaik taraf perancangan strategik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang dilihat sudah ketinggalan jauh ke belakang sejak tahun 2003.

“Saya lihat perancangan strategik MBI sudah terlalu lama dan masa saya datang yang paling terbaharu adalah pada tahun 2003, dekat 17 tahun ketinggalan strategi.

“Jadi saya mula merancang strategi dan apa keperluan MBI kerana jika tidak buat sesuatu bandar raya ini akan mundur seperti bandar raya Detroit di Amerika Syarikat.

“Apabila saya meneliti perancangan tersebut, saya rasa kita kekurangan peluang dan apa yang perlu dilakukan adalah cara untuk meningkatkan ekonomi di bandar raya Ipoh,” katanya ketika temubual khas bersama MG Perak.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menerima Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 di The St. Regis, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto MOHD ADZLAN.

Menurut beliau, ketika baharu menduduki kerusi Datuk Bandar Ipoh, banyak rumah dilelong dan hendak dijual akibat pandemik Covid-19 dan melihat senario ramai rakyat tidak mampu untuk membayar hutang rumah.

Ujar beliau, rentetan itu terdetik di hatinya untuk membantu penduduk sekitar Ipoh menambah pendapatan mereka dalam suasana yang mencabar ketika itu.

“Susulan itu, saya mengubah slogan daripada ‘Bandaraya Ipoh Bersih, Hijau dan Maju’ yang sebelum ini keutamaannya infrastructure centric kepada human centric.

“Slogan itu kemudiannya saya ubah kepada ‘Ipoh Bestari (masyarakat) dan Sejahtera (perbandaran). Kita ubah untuk mula melengkapkan hala tuju dan bagi menggerakkan ekonomi kita mesti menggerakkan infrastruktur yang asas.

“Untuk menggerakkan infrastruktur asas kita perkenalkan konsep bandar raya pintar pada tahun 2020 dan menjadi antara bandar terawal memperkenalkan konsep tersebut dan kertas kerja mengenainya siap pada Mac 2021,” ujarnya.

Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Foto ABDULLAH YUSOF.

Rumaizi berkata, MBI turut memperkenalkan kerangka untuk bandar rendah karbon supaya konsep bandar raya pintar ini selari dengan dasar semasa negara.

Dalam pada itu, beliau berkata ketika penularan wabak Covid-19, MBI memperkenalkan program MBI Prihatin bagi membantu warga Ipoh yang memerlukan.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara private public partnership itu dilaksanakan bagi membantu orang susah kerana pada masa itu orang tidak ada kerja.

“Ramai orang tak boleh berniaga seperti di pasar malam, jadi pendapatan tiada, waktu kita tak boleh nak buka peluang, caranya kita beri direct subsidi dan berbincang dengan syarikat korporat bandar raya Ipoh ini serta memberikan pengecualian cukai kepada syarikat yang membantu.

“MBI Prihatin tidak terhenti setakat pandemik Covid-19 tetapi masih diteruskan sehingga hari ini dengan tujuan yang sama,” jelasnya.

IPOH BANDAR SENI

Menyentuh mengenai usaha Datuk Bandar Ipoh ke-12 itu untuk menjadikan Ipoh sebagai Bandar Seni, beliau berkata pelbagai sudut diambil kira sebelum perkara itu dilaksanakan.

Beliau mengambil contoh negara seperti Amerika Syarikat yang amat terkenal dengan Hollywood di Los Angeles yang memfokuskan seni filem serta India yang membangunkan bandar seni mereka di Mumbai.

“Di Korea Selatan ada Seoul, iaitu ibu negara membangunkan industri maju namun tidak lupa bandar seninya di Busan.

“Jadi, walaupun di Malaysia kita ada bandar industri di Pulau Pinang, Kedah (Kulim), Lembah Klang dan Johor (Iskandar Puteri) Johor tapi kita jangan lupa pembangunan manusia dan seni ini perlu diletakkan di mana?

“Saya rasa kenapa bukan Ipoh? Ini kerana orang Malaysia masih perlukan seni tapi dari segi lokasi tak jauh kalau ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dan apa yang kita nak buat pada Ipoh ini adalah pelengkap kepada pembangunan infrastruktur di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor,” katanya.

Bangunan Dewan Bandaran Ipoh di Perak yang bakal dinaik taraf menjadi studio digital lengkap dengan Dewan Philharmonic. Foto MOHD ADZLAN

Dalam perkembangan berkaitan,  Rumaizi berkata model pembangunan bandar seni yang akan dibawa masuk ke Ipoh adalah seperti di Busan dan New York.

“Kalau di New York ada lokasi latihan tarian di Washington maknanya kalau kita nak melatih orang untuk menjadi good artist mungkin Ipoh tempat yang mungkin boleh dikembangkan selain di Kuala Lumpur termasuk industri filem.

“Kita akan buat studio digital di Ipoh terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di rantau Asia Tenggara selepas Singapura dan ia kini dalam pembinaan.

“Saya buat (studio digital) di bangunan yang usia lebih 100 tahun iaitu di Dewan Bandaran Ipoh. Kita akan jadikannya seperti Dewan Philharmonic. Kalau kita nak jadi bandar seni kena ada bangunan seni.

“London walaupun sudah maju ia masih kekalkan Dewan Philharmonic di bangunan Royal Albert Hall kerana bangunan itu melambangkan keseniannya,” ujarnya.

Bulan lalu, Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Ipoh bagi kategori muzik seiring dengan bandar raya ini untuk menjadi bandar seni. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

3H’ diperkenalkan MBI, rancakkan Tahun Melawat Perak 2024

Perak perkasa keterjaminan makanan dalam skala besar

MBI cadang Michelle Yeoh antara tokoh ‘Hall Of Fame’ Ipoh