Mangsa serangan Israel menjelang 'gencatan senjata sementara'.

TEL AVIV – Tentera Israel menggunakan sepenuhnya masa sebelum ‘gencatan senjata sementara’ bermula dengan melakukan serangan besar-besaran terhadap Gaza.

Hospital Indonesia yang menjadi sasaran tentera Zionis sekali lagi diserang beberapa jam sebelum Hamas membebaskan tebusan Israel seperti yang dijanjikan.

Menurut Al Jazeera, tentera Israel menyasarkan penjana kuasa Hospital Indonesia yang terletak di utara Semenanjung Gaza lewat Khamis.

“Hospital itu tertakluk kepada tembakan berat yang menyasarkan penjana kuasa dan sebahagian besar bangunan.

“Nyawa 200 pesakit dan kakitangan perubatan berisiko di tengah-tengah serangan itu,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra memberi amaran.

Sementara itu sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan 100 yang lain cedera dalam serangan udara ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA)

Serangan itu menyasarkan Sekolah Abu Hussein tajaan UNRWA di kem pelarian Jabalia, kata Hamas dalam satu kenyataan.

Agensi berita rasmi Wafa sebelum ini berkata bahawa sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan 93 yang lain cedera di sekolah itu, di mana ramai penduduk Gaza yang terlantar tinggal.

Serangan itu berlaku beberapa jam sebelum jeda kemanusiaan dijangka bermula antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza pada 7 pagi waktu tempatan (0500GMT) pada hari Jumaat.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober, membunuh lebih 14,854 rakyat Palestin, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast