KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan (e-hailing) ditahan polis dalam sekatan jalan raya, Op Sekatan Bersepadu, di Pandan Indah , di sini, semalam kerana menggunakan lesen terbang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan mendapati penunggang motorsikal itu membeli lesen memandu tersebut menerusi iklan di laman Facebook pada harga RM1,200 pada Julai 2021.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 108(3)(g) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam, jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette