Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan penghargaan terhadap rakan komponen Pakatan Harapan (PH) yang setia menyokong sehingga tertubuhnya Kerajaan Perpaduan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berterusan menolak segala cubaan ‘tebuk atap’ yang dilakukan pembangkang dan genap setahun cubaan untuk meruntuhkan kerajaan berterusan.

“Pada peringkat awal memang pengalaman kerajaan terumbang-ambing kerana ada percubaan mengintai dan mendesak untuk mengulangi amalan tebuk atap tapi kesetiaan teruji.

”Ada yang ditawarkan macam-macam termasuklah jawatan Perdana Menteri dan banyak lagi.

“Tetapi rakan komponen ini setia dan hari ini rakan dalam pimpinan dan Jemaah Menteri memilih kerajaan yang inklusif dan mewakili semua kaum dan wilayah,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2023, di sini, malam ini.

Katanya, tumpuan beliau bersama jemaah menteri adalah untuk memulihkan ekonomi melalui tatakelola yang baik dan dasar ekonomi yang meyakinkan.

“Berbeza dengan pelbagai telahan dan tohmahan, kesepakatan parti Kerajaan Perpaduan kini berlegar kepada persoalan tatanan negara; memperbaiki tatakelola dan keutamaan memulihkan ekonomi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast