Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman

SHAH ALAM –  Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk kekal menawarkan diri bagi jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pemilihan akan datang.

Katanya, keputusan berkenaan berubah selepas isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman memintanya untuk terus memimpin parti tersebut.

“Sebenarnya kuasa yang paling besar saya nak sebutkan di sini bukan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), tidak lain adalah isteri saya. Sebenarnya ketika saya umumkan semalam, isteri saya mesej untuk minta saya kekal lagi satu penggal. Dia kata jangan kecewakan mereka (ahli), dia kata mereka perlukan awak. Mereka ikhlas.

“Saya kata, okay. Saya akan kekal untuk penggal terakhir. Isteri saya kata terima kasih kerana ini untuk bangsa dan negara. Jadi saya nak menyatakan sebab hasrat dan niat baik saudara sekalian di sini saya buat keputusan untuk menawarkan diri bertanding dalam jawatan presiden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) bersatu di IDCC hari ini.

Bagaimanapun Muhyiddin meminta semua ahli supaya berbaiah kepadanya dengan nama Allah untuk setia dengan bersatu sehingga parti itu berjaya menubuhkan kerajaan.

“Saya nak tuan dan puan berbaiah kepada saya dengan nama Allah, kita akan terus beristiqamah berjuang mendokong Bersatu sampai kita berjaya pergi ke Putrajaya,” katanya.

Semalam, Muhyiddin dalam ucapan dasarnya menyatakan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan akan datang untuk membuka ruang dan peluang bagi pemimpin lain.

Sementara itu ketika sidang media, beliau menafikan keputusan semasa ucapan dasarnya semalam gimik yang sengaja dicetuskan.

“Saya bukan budak nak main main. Semuanya tertulis dalam ucapan dasar, gimik apa dengan menangis semua ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette