PUTRAJAYA – Semua kementerian diarah supaya memastikan amalan mengurangkan gula dilaksanakan dalam setiap penyediaan jamuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengeluarkan arahan itu turut menyeru rakyat mengurangkan pengambilan gula dalam makanan bagi mengelak risiko penyakit diabetes.
Justeru, beliau mahu agar semua kementerian melaksanakan kempen kurangkan gula dalam pemakanan.
“Laporan (menunjukkan) penyakit kencing manis diabetis paling tinggi di Asia itu di Malaysia…ini bukan urusan Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja.
“Kita patut jadi negara sihat kerana Islam itu menekankan keperluan jaga kesihatan tetapi Malaysia nombor satu dari segi penyakit kerana menelan, menghirup gula berlebihan,” katanya.
ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut meminta golongan usahawan untuk membantu memastikan penggunaan gula dapat dikawal.
“Saya rasa kesal Malaysia dengan kesedaran Islam, dakwah tazkirahnya, tetapi, diabetes tinggi maknanya kesedaran kepentingan kesihatan tidak dikawal,” ujarnya.
Pada Khamis lepas, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, dapatan hasil kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati prevalens kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara yang mana mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019.
Menuurt Dr Zaliha, KKM akan melancarkan satu pelan advokasi gula dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette