Bayi lelaki ini kini ditempatkan di Hospital Seri Manjung.

IPOH –  Seorang bayi lelaki ditemukan dalam sebuah beg di tepi longkang belakang sebuah kedai di Ayer Tawar dekat Manjung, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu daripada seorang lelaki berusia 45 tahun pada pukul 8.15 malam.

“Bayi lelaki tersebut telah dihantar ke Hospital Seri Manjung dan kini berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk rawatan serta pemantauan lanjut oleh pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor mendapati tiada sebarang kecederaan luaran dan bayi itu berada dalam keadaan sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Nordin berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan waris bayi itu.

“Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240391 bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak di bawah umur kurang daripada 12 tahun, mendedahkan serta membuang kanak-kanak itu dengan niat.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast