KUALA LUMPUR – Sirul Azhar Umar tidak perlu takut sekiranya Datuk Seri Najib Razak benar-benar terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantunya Shaariibuu pada 2006.
Pengendali akaun Facebook Najib Razak berkata, ini kerana sudah 5 1/2 tahun Najib bukan perdana menteri dan telah 14 bulan dalam penjara.
Najib juga bukan ahli Parlimen dan tidak memimpin parti politik pun.
“Jadi, Sirul patut dedahkan siapa mastermind sebenar dan siapa yang masih berkuasa hari ini yang dia masih takut.
“Dedahkan semuanya, Sirul. Please tell all,” katanya.
Semalam, Najib menafikan semua dakwaan dibuat oleh bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dalam wawancara bersama Al Jazeera.
Firma guaman, Tetuan Shafee & Co dalam satu kenyataan bagi pihak bekas perdana menteri itu berkata, Najib meminta Kerajaan Malaysia untuk mengadakan libat urus bersama pihak berkuasa Australia dengan matlamat bagi memudah cara ekstradisi Sirul Azhar ke negara ini, sekali gus memastikan siasatan komprehensif dijalankan berhubung dakwaannya.
“Bagi menyokong usaha ini, anak guam kami mencadangkan Kerajaan Malaysia berkemungkinan menawarkan jaminan untuk tidak mengenakan hukuman mati bagi memudah cara objektif keadilan dan kebenaran secara meluas.
“Dalam pada itu, anak guam kami (Najib) mempertahankan kesemua hak perundangan dan remedi dalam perkara ini terhadap Sirul, Al Jazeera dan wartawannya Mary Ann Jolley, beliau kekal teguh menafikan sebarang pembabitan dalam kematian tragik Altantuya Shaariibuu melalui jenayah amat kejam itu.
“Kami mahu menegaskan bahawa anak guam kami (Najib) telah dilepaskan secara muktamad daripada sebarang pembabitan dalam kes ini, dan ia disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk siasatan semula pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), serta disahkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan menerusi rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang mendengarnya secara komprehensif berdasarkan merit,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette