Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, dengan mencatatkan jumlah aliran masuk RM382.8 juta, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah yang dicatatkan itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM172.4 juta aliran masuk pada minggu sebelumnya.

Menurutnya, pelabur asing membeli ekuiti hampir setiap hari pada minggu dagangan berkenaan, dengan aliran masuk tertinggi pada Selasa berjumlah RM232.6 juta.

“Mereka turut merekodkan belian bersih pada Isnin sebanyak RM6.5 juta, RM36.6 juta pada Rabu, RM74.0 juta pada Khamis dan RM33.1 juta pada Jumaat,” katanya dalam nota hari ini.

MIDF Research berkata, tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM86.4 juta), penjagaan kesihatan (RM85.2 juta) dan teknologi (RM82.0 juta).

Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah penggunaan produk dan perkhidmatan (-RM38.9 juta), tenaga (-RM21.2 juta) dan telekomunikasi dan media (-RM20.1 juta).

MIDF Research berkata institusi tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu keempat berturut-turut, dengan jumlah jualan ekuiti sebanyak RM355.0 juta.

“Belian bersih yang dicatatkan mereka ialah sebanyak RM11.0 juta pada hari Isnin tetapi jualan bersih pula dilihat dari Selasa hingga Jumaat,” katanya.

Peruncit tempatan meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan jualan bersih berjumlah RM27.8 juta.

“Mereka merupakan pembeli bersih ekuiti pada Rabu dengan sejumlah RM24.6 juta tetapi menjadi penjual bersih untuk baki minggu berkenaan,” katanya.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 4.9 peratus dan institusi tempatan 9.8 peratus, tetapi penurunan dalam kalangan pelabur asing sebanyak 5.4 peratus. – BERNAMA