KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pimpinan PKR agar mengelak budaya rasa selesa dengan kilauan pangkat dan jawatan.
Presiden PKR itu berkata, mereka perlu terus bekerja kuat dalam memberi penerangan kepada akar umbi terkait segala usaha dan rencana yang dilakukan kerajaan buat rakyat terbanyak.
Beliau menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada Kongres Tahunan PKR, semalam.
“Saya turut singgung fitnah tanpa henti pembangkang terkait penyeberangan dukungan Ahli Parlimen mereka kepada Kerajaan Perpaduan.
“Keputusan mereka untuk mendukung kita adalah atas dasar keyakinan terhadap keputusan dan kebijakan yang sedang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri berkata, PKR mesti menjadi wadah buat rakyat dan terus menggilap idealisme.
Semalam, Anwar ketika menggulung Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menegur supaya jangan terapkan budaya terlalu selesa dengan pencapaian yang ada dalam kalangan pimpinan parti.
Beliau berkata, sebarang teguran berkenaan kelemahan diri perlu diterima oleh semua, namun perlu bertegas jika dilemparkan dengan fitnah atau tuduhan berat yang membawa unsur perkauman serta sentimen negara. – MalaysiaGazette