GAZA CITY – Dalam rakyat Israel menceritakan kebajikan dan layanan baik yang diterima sepanjang diculik oleh Hamas lain pula kisah rakyat Palestin yang dibebaskan dari penjara regim Zionis tersebut.
Misalnya seorang remaja Mohammed Nazzal yang dilepaskan dari penjara Naqab kelihatan memakai anduh pada tangan kanannya.
Menurut remaja berusia 17 tahun itu tangan dan jarinya patah sejak beberapa minggu lalu selepas dipukul oleh pegawai penjara Israel. Selain tangan dan jari belakang badannya turut dibelasah dan tidak diberikan sebarang rawatan.
“Seseorang dalam bilik saya mati. Mereka patahkan lengan saya, jari saya. Mereka pukul belakang saya.”
“Mereka tidak menawarkan saya sebarang rawatan perubatan. Palang Merah memberi saya anduh ini, bukan perkhidmatan penjara. Saya menghabiskan seminggu tanpa rawatan.
“Penjara padang pasir Naqab sangat sukar. Keadaan banduan seperti mati. Saya muda; saya boleh menanganinya. Tahanan tua tidak boleh,” katanya dalam satu temubual sebaik sahaja dilepaskan.
Seorang lagi tahanan muda, Ahmed Bashar Abu Alia berkata, pegawai penjara sempat memukul dirinya sebelum dibebaskan.
Menurutnya, tahanan Palestin dilayan dengan teruk dan dipukul tanpa sebab dengan pegawai Israel masuk ke dalam sel tahanan sewenang-wenangnya untuk berbuat demikian.
“Di dalam penjara, mereka akan masuk dan memukul kami. Kebanyakan daripada kami mengharapkan hari pembebasan. Harapan pemuda adalah pada pasukan penentangan (Hamas). Jika bukan kerana penentangan, tiada siapa yang mempunyai harapan (untuk bebas). Kepercayaan kami terhadap penentangan adalah tinggi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai detik-detik sebelum dibebaskan, dia berkata, “Mereka memberitahu saya ada soal siasat. Mereka menyuruh kami menanggalkan pakaian kami dan memberi kami pakaian ini. Selepas mereka memukul kami, mereka memberi kami pakaian ini.”
Ibrahim Dhafer, 17 pula berkata, dia telah ditahan secara pentadbiran tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
Katanya, keadaan dalam penjara semakin berubah selepas 7 Oktober iaitu tarikh serangan Hamas ke atas Israel dengan tahanan dipukul secata berterusan.
Beliau berkata, mereka juga hanya diberikan sedikit makanan dan pegawai penjara melakukan gangguan pada waktu malam.
“Mereka mengambil segala-galanya dan meninggalkan kami dengan sedikit makanan. Pada hari Jumaat dan Sabtu, kami tidak akan makan. Setengah pinggan untuk dimakan oleh lapan orang.
“Kami tidak dapat tidur pun. Mereka akan menghalang kami daripada tidur dengan pusingan dan penghinaan selepas tengah malam. Segala puji bagi Allah atas nikmat Islam. Kami telah belajar sabar dan istiqamah.”
“Ada seorang banduan seusia datuk saya berlumuran darah. Banduan akan dihukum mati pada bila-bila masa. Empat banduan dari penjara ‘Megiddo’ sahaja telah syahid,” katanya.
Seramai 150 warga Palestin terdiri daripada remaja dan wanita dibebaskan dari penjara Israel sebagai pertukaran tebusan warga Israel yang ditahan Hamas. – Agensi