Radja Nainggolan. Foto Sky Sports.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain tengah skuad kebangsaan Belgium, Radja Nainggolan dilaporkan bakal beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia untuk mengharungi baki saingan musim 2023/2024.

Berita itu didedahkan oleh Indotransfer di laman media sosial X yang mana pemain berusia 35 tahun itu dikaitkan dengan pasukan polis Indonesia iaitu Bhayangkara FC.

Jendela perpindahan kedua bagi Liga 1 musim ini telah ditutup secara rasmi semalam dan proses perpindahan Nainggolan ke Bhayangkara mencetus tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak negara itu.

Dia mempunyai pertalian darah dengan Indonesia melalui bapanya yang berasal dari suku Batak yang terletak di kepulauan Sumatera namun dibesarkan oleh ibunya yang berasal dari Belgium kerana bapanya meninggalkan beliau dan keluarga ketika masih kecil.

Sepanjang kariernya beraksi di Eropah, Nainggolan pernah beraksi dengan beberapa kelab besar seperti AS Roma, Inter Milan, Cagliari dan Royal Antwerp.

Liga 1 tidak asing dengan pemain berprofil tinggi yang mana sebelum ini beberapa kelab pernah membawa masuk pemain yang pernah beraksi dengan kelab besar di Eropah.

Persib Bandung pernah membawa masuk Michael Essien dan Charlton Cole pada 2017 namun kedua-dua pemain hanya bertahan satu musim selepas gagal untuk menampilkan prestasi terbaik dalam liga.

Selain itu, Madura United pernah menandatangani Peter Odemwingie pada musim yang sama yang mana pemain itu pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menyarung jersi Stoke City dan Cardiff City. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast