KUALA LUMPUR – Bekas pemain pertahanan import Selangor, Yazan Al-Arab yang digantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seumur hidup memilih angin baharu dengan menyertai sebuah kelab di Iraq, Al Shorta SC.
Menerusi satu hantaran di laman media sosial pasukan kelab Arab itu, kehadiran Yazan yang berusia 27 tahun sebagai rekrut yang mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan kelab itu.
Keputusan Yazan itu boleh dianggap sebagai langkah tepat memandangkan kelab tersebut merupakan juara Liga Perdana Iraq buat dua tahun berturut-turut.
Mereka juga kini berada di landasan tepat untuk mempertahankan gelaran tersebut dengan pasukan kendalian Chiheb Ellili itu kini menduduki tangga ketiga liga selepas lima perlawanan.
Al Shorta SC merupakan kelab keempat dalam karier Yazan yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Jordan bersama Al Jazeera dan Al Wehdat selain Liga Super bersama Selangor FC.
Pada 24 September lalu, tindak emosi Yazan yang menendang pengadil selepas aksi suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Selangor FC jelas membawa padah.
Dalam insiden di Stadium MBPJ, Selangor itu, pemain antarabangsa Jordan itu melakukan kekasaran ke atas Hasrol Mohd Amir sebagai tanda protes selepas layangan kad merah.
Justeru, pada 20 November lalu, FAM mengumumkan bek tengah itu dikenakan penggantungan seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak dalam negara. – MalaysiaGazette