Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian runtuhan bangunan logistik yang masih  dalam pembinaan di Batu Maung pada Selasa lalu.

CAP turut mendesak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) untuk bertindak tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab atas insiden tersebut.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan yang teliti serta menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa manakala dua lagi masih parah.

“CAP amat terkejut dan kecewa apabila sebuah lagi bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh.

“Memandangkan lokasi kejadian berdekatan dengan pantai yang terdiri daripada tanah pasir dan batu kerikil, sebarang struktur dibina di kawasan berkenaan perlu dipastikan benar selamat dengan mengambil kira semua langkah keselamatan terutamanya kajian geologi,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Artikel berkaitan:

Tambah Mohideen, isu ini perlu diberi perhatian memandangkan membabitkan banyak pihak selain melibatkan nyawa pekerja.

“Memandangkan statistik kematian dalam kemalangan pekerjaan tinggi, maka keselamatan bagi pekerja mestilah diutamakan.

“Berdasarkan laporan JKKP, sebanyak 6,793 kemalangan pekerjaan disiasat pada 2020 dan daripada jumlah itu 193 kematian direkodkan manakala 256 hilang upaya kekal membabitkan pekerja asing.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan secara tegas serta berterusan bagi memastikan semua langkah keselamatan di tapak pembinaan dipatuhi,” katanya.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, dalam dua kes utama di negeri ini iaitu perancah runtuh di Jambatan Kedua Pulau Pinang dan sirip dinding runtuh di Bangunan UMNO setinggi 21 tingkat, suruhanjaya siasatan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pulau Pinang mendapati berlaku ketidakcekapan dan kecuaian.

“Setiap kali berlaku kemalangan, kita akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku. Adakah ia cuma suatu kemalangan ataupun berlaku kerana kecuaian?

“Sekiranya ia berlaku disebabkan oleh kecuaian, maka siapakah yang patut dipersalahkan adakah pemaju, kontraktor, pekerja binaan atau pihak berkuasa sendiri?

“Jadi hanya dengan penguatkuasaan undang-undang secara tegas serta berterusan akan menjadikan pihak yang bertanggungjawab dalam industri pembinaan serta pihak berkuasa berkaitan akan lebih mematuhi undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette