PUTRAJAYA – Malaysia perlu menjadi hab ekonomi halal berdaya maju kerana industri itu berpotensi tinggi dengan nilai ekonomi global mencecah AS$5 trilion (RM23.26 trilion) menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia mampu dicapai dengan pemerkasaan banyak aspek terutama dalam pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan, latihan, integrasi teknologi serta kerjasama global.
Menurutnya, ketika ini permintaan mendadak untuk barangan dan perkhidmatan halal menyebabkan negara bukan Islam seperti Thailand, Australia, dan Brazil menjadi pengeksport produk halal terkemuka daripada makanan diproses kepada bekalan daging dan ayam.
“Kita tidak boleh lupa bahawa halal bukan sekadar pensijilan semata-mata namun mewakili peluang perniagaan yang besar.
“Aspek perniagaan halal yang lebih luas menjana kekayaan, memupuk kesejahteraan masyarakat dan meningkatkan pulangan ekonomi dalam perspektif yang luas walaupun proses pensijilan mungkin tidak menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Islam dan Ekonomi Halal Antarabangsa (ICIHES) 2023 serta Persidangan Undang-Undang Islam, Ekonomi dan Kewangan Antarabangsa (SPEKI) 2023 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan.
Mengulas lanjut, Fadillah menasihati semua pemegang taruh dalam industri halal supaya tidak terlibat dalam transaksi yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang bagi memastikan ekosistem sektor terbabit berkembang secara komprehensif.
Beliau berkata, ini kerana halal itu sendiri menetapkan pelaksanaan yang mengikut undang-undang Islam dengan skopnya lebih luas dan mempengaruhi kehidupan manusia.
“Pemegang taruh perlu menjauhi transaksi yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang seperti tidak jujur, memanipulasi harga dan menyorok bekalan bagi memupuk ekonomi halal yang menyeluruh,
“Sebaliknya, mereka perlu mematuhi prinsip serta etika yang baik bagi mewujudkan ekosistem industri halal yang lebih kondusif,” katanya. – MalaysiaGazette