Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

KUANTAN – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang diseru memastikan semua saluran perparitan diselenggara dan dalam keadaan terbaik.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia bagi mengelakkan kejadian banjir kilat dan sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka sehingga Mac tahun depan.

“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pemegang konsesi seperti Road Care, YP Maintenance dan Alam Flora juga diharap dapat menjaga kawasan masing-masing agar memastikan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut Mohammad Fakhruddin, kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam menghadapi MTL adalah dalam keadaan terbaik termasuk dari aspek pengurusan pentadbiran.

Ia turut meliputi persiapan di setiap pengkalan hadapan yang mana bantuan berbentuk bekalan makanan telah pun disediakan di pusat-pusat Pemindahan Banjir di semua daerah di negeri ini.

“Di Pekan ni, kerajaan negeri ada juga membina pusat pemindahan Kekal (PPK) contohnya di Temai yang bernilai hampir RM 5 juta dan diluluskan kerajaan negeri bagi menggantikan Sekolah Kebangsaan Temai yang selama ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Di Kampung Acheh pula telah diwujudkan sebuah sekolah yang ada dwifungsi, yang mana sekolah itu digunakan sebagai tempat pembelajaran pada waktu biasa dan pada musim tengkujuh ini akan ditukar sebagai Pusat Pemindahan,” katanya.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (tengah) bergambar bersama penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kluster Nelayan di Dewan Konvensyen Majlis Perbandaran Pekan.

Beliau berkata demikian dalam kepada MalaysiaGazette selepas Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kluster Nelayan di Dewan Konvensyen Majlis Perbandaran Pekan, di sini hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga baru-baru ini telah merasmikan sebuah PPK yang pertama di negara di Luit, Maran.

Dalam pada itu, seramai 519 orang nelayan dalam daerah Pekan telah diberikan BPP sebanyak RM200 setiap seorang dalam majlis hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, ia bagi meringankan beban kewangan kepada nelayan-nelayan khususnya pada musim tengkujuh. – MalaysiaGazette