Hussein Omar Khan.

SERDANG – Polis memburu dua lagi suspek yang terlibat dalam rusuhan ketika perlawanan Liga Super 2023 antara Selangor FC dan Perak FC pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, sehingga kini seramai 23 individu telah ditahan berusia antara 16 hingga 36 tahun.

Jelas beliau, lapan daripada suspek akan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan; Seksyen 348 dan Seksyen 427.

“Kita masih siasat untuk menangkap dua lagi yang dikehendaki,” katanya selepas merasmikan Program Go To Safety Points Anjuran Petronas di Stesen Minyak Petronas Solaris Serdang.

Suasana aman di perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada Sabtu lalu dicemari dengan pergaduhan sehingga mengakibatkan rusuhan melibatkan beberapa individu.

Kejadian berlaku pada 4.30 petang di bahagian kawasan parkir stadium berkenaan.

Pergaduhan tercetus selepas perlawanan melibatkan Selangor FC dan Perak FC di stadium berkenaan.-MalaysiaGazette