Fuziah Salleh (tengah) ketika lawatan kerja di gudang pemborong keperluan barangan asas di Indera Mahkota, di sini hari ini

KUANTAN – Pengusaha premis perniagaan yang menawarkan menu rahmah diseru memohon Kad Diskaun Khas Menu Rahmah yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, sehingga hari ini hanya 42 daripada 2,894 peniaga membuat pendaftaran dalam talian.

“Kemungkinan kerana tahap kesedaran dalam kalangan peniaga masih kurang. Jadi, kita mengalu-alukan semua pengusaha Menu Rahmah untuk mendaftar di menurahmah.gov.my iaitu di Portal Menu Rahmah,” katanya.

Tambah Fuziah, peniaga Menu Rahmah yang mempunyai Kad Diskaun Khas Menu Rahmah itu boleh mendapatkan barangan seperti ayam, bawang dan barangan asas makanan lain pada harga jauh lebih murah.

Beliau berkata, pembelian tersebut boleh dibuat di enam rakan strategik KPDN iaitu Lotus’s, Aeon Big, Econsave, Giant, Mydin dan NSK yang akan memberi potongan harga sehingga 40 peratus.

Fuziah Salleh

“Kalau di Kuantan, ada dua tempat peniaga boleh beli iaitu di Lotus’s dan Aeon Big,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di gudang pemborong keperluan asas di Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Fuziah memberitahu, lawatan ke gudang tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi sempena musim tengkujuh.

“Kita telah melantik beberapa pemborong dan peniaga seluruh negara untuk menambah bekalan mereka sehingga 30% supaya bekalan tidak terputus jika berlaku banjir.

“Di Pahang kita lantik 99 pemborong dan peniaga untuk dibenarkan tambahan stok 30% yang perlu seperti gula, minyak masak dan tepung,”katanya. – MalaysiaGazette