Temubual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad, Muzzaffar Othman di Menara PNB, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menyasar untuk meningkatkan jumlah pelabur kepada 15 hingga 16 juta orang lagi dalam tempoh jangka sederhana ini.

Pada masa ini, ASNB memiliki 12.7 juta orang pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman berkata, unjuran itu selari dengan strategik firma pelaburan itu untuk menembusi golongan muda kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) secara aktif.

Ia selari dengan pelbagai perancangan yang akan dilaksanakan termasuk memperhebatkan pendidikan ilmu perancangan kewangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“ASNB telah menyediakan laman sesawang ASNB Academy iaitu kandungan yang memberi maklumat, nasihat dan tunjuk ajar berkaitan pengurusan wang dan pelaburan bagi membantu orang ramai membuat keputusan kewangan yang bijak.

“Pada masa sama, ASNB akan menembusi sekolah-sekolah, IPT, juga untuk mendidik dan memberi mereka semangat, galakkan dan idea supaya menabung.

“Pelajar menjadi keutamaan ASNB dalam pendidikan menabung kerana tahap literasi kewangan rakyat negara ini masih rendah. Jadi usaha perlu digerakkan dari golongan muda,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Muzzaffar Othman di Menara PNB, Kuala Lumpur

Muzzaffar menambah, 47 peratus rakyat Malaysia masih sukar menyediakan RM1,000 untuk wang kecemasan.

Malah, hanya 20 peratus mampu menampung perbelanjaana hidup sekurang-kurangnya tiga bulan jika hilang pendapatan dan paling membimbangkan 69 peratus lebih suka berbelanja daripada menyimpan.

Justeru, ujarnya, ASNB tidak akan henti mengajak orang ramai supaya belajar urus kewangan dengan betul.

Selain daripada itu, ASNB yang sudah berusia 44 tahun, memiliki 16 tabung unit amanah.

“Kami ada tabung yang orang ramai boleh labur dari sekecil bayi, contohnya Amanah Saham Bumiputera (ASB) sehingga seseorang itu meninggal dunia dan masih mahu pahalanya berterusan melalui Wakaf ASNB.

“Kita mempunyai pakej pelaburan yang penuh kerana mahu ASNB menjadi sebahagian dalam menguruskan hidup sendiri dan keluarga.

“Dengan produk ASNB, anak-anak boleh membina tabungan pendidikan, untuk diri sendiri boleh bina tabung kecemasan dan pada masa sama, kita boleh awal-awal merancang  penerima aset selepas meninggal dunia menerusi hibah.

“Untuk menjana pahala walaupun sudah meninggal dunia, kita sediakan Wakaf ASNB,” tambah Muzzafar.

Mengulas mengenai tabiat menabung dalam kalangan rakyat negara ini, beliau berkata, ASNB juga mahu memberi kesedaran bahawa melabur bukan semata-mata untuk dividen semata-mata.

Tetapi menjadikan tabungan ASNB sebagai peluang pelaburan yang perlu diambil untuk membantu diri sendiri ketika di waktu sukar pada masa depan.

“Situasi ini kami lihat semasa pandemik Covid-19, yang mana ramai pelabur membuat pengeluaran daripada tabungan masing-masing.

“Kami gembira melihat keadaan ini kerana dengan adanya ASNB, mereka (pelabur) tahu ke mana hendak dituju jika memerlukan wang atau dana kecemasan. ASNB kan ada,” ujar beliau. – MalaysiaGazette