Faisal Halim. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Penyerang sayap Selangor FC, Faisal Halim memberi bayangan dia akan kekal bersama skuad Gergasi Merah Kuning pada musim depan.

Bayangan oleh pemain Harimau Malaya itu dibuat menerusi hantaran di laman Facebook miliknya yang seakan-akan mengesahkan keputusan yang telah dibuat.

“2022 bersama Terengganu FC layak ke Asia, tetapi tak sempat merasakan hasil kerja keras kerana memilih cabaran baharu dan haluan yang baharu ke Selangor FC.

“2023 bersama Selangor FC layak ke Asia, dua tahun layak ke Asia. Rezeki dari Allah, insya-Allah 2024,” tulis pemain berusia 25 tahun terbabit.

Malam tadi, Selangor mencatatkan kemenangan dramatik ketika berdepan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman.

Keputusan 1-0 yang berpihak kepada pasukan Lembah Klang itu mengesahkan mereka sebagai naib juara Liga Super 2023, sekali gus memastikan slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 milik mereka.

Ia pastinya menjadi satu pencapaian mengagumkan buat Selangor FC yang kali terakhir beraksi di pentas Asia kira-kira tujuh tahun lalu.

Kejayaannya mengesahkan slot itu sedikit sebanyak memadam khabar angin untuk FaisalĀ  terus kekal selepas dikaitkan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim depan.

Faisal merupakan tonggak utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe musim ini dengan 11 gol dan tujuh bantuan jaringan membantu mereka menduduki tangga kedua Liga Super dengan hanya satu perlawanan berbaki. – MalaysiaGazette