Fared menerima sumbangan untuk penduduk Gaza daripada wakil Pengerusi Masjid Darun Nadwa, Saiddin Othman hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor akan memastikan sumbangan diterima dalam kempen solidariti Palestin akan disalurkan kepada penduduk Gaza yang sedang dilanda serangan rejim Zionis.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid memberi jaminan sumbangan itu akan diserahkan 100 peratus kepada kementerian dan penduduk di negara itu.

“Saya menyeru semua Bangsa Johor dan orang awam supaya terus salurkan  sumbangan kepad tabung Palestin di bawah Kementerian Luar Negeri berbanding mana-mana pertubuhan atau orang perseorangan yang mendakwa ada akses ke Gaza.

“Jadi saya menyeru orang ramai supaya ikut prosedur betul supaya wang didermakan sampai ke orang yang memerlukan. Kita mesti yakin dengan kementerian kita dan itulah yang kit Johor laksa akan dan saya harapkan rakyat Johor teruskan sumbangan ini.

“Alhamdulillah, 100 peratus kutipan kita terima disampaikan kepada kementerian dan saya yakin jumlah itu juga sampai kepada penduduk Gaza sepenuhnya,” katanya selepas menerima sumbangan daripada penduduk Felda Pengeli Timur yang disampaikan Pengerusi Masjid Darun Nadwa, Saiddin Othman hari ini.

Sementara itu, beliau juga menjelaskan, pihaknya masih menerima sumbangan daripada pelbagai pihak dan akan memaklumkan jumlah kutipan terkini pada pertengahan Disember ini.

“Saya rasa usaha kita lakukan ini perlu berterusan kerana rakyat Palestin memerlukan bantuan kita. Bagi rakyat Johor kita tidak halang masyarakat untuk terus menyumbang,” ujarnya.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu sesi sidang DUN Johor hari ini turut menerima kunjungan seramai 15 pemerhati terdiri daripada mahasiswa Palestin. – MalaysiaGazette